Skip to main content

Bola Sepak

Tok Gajah terus gah, benam Tambadau di Likas

img_0183.jpg
SABAH 1 PAHANG 2

Pahang terus membuktikan keunggulan dalam saingan Piala Malaysia musim ini apabila mencatat kemenangan ketiga berturut-turut selepas membenam Sabah 2-1 di Stadium Likas,  sebentar tadi.


Skuad kendalian Dollah Salleh itu tidak perlu menunggu lama untuk mendapatkan gol pertama apabila Dickson Nwakaeme melakukan penyudah baik di dalam kotak penalti pada minit pertama bagi menjadikan kedudukan 1-0.

Tersentak dengan jaringan itu, Sabah kemudian cuba bangkit menyamakan kedudukan dan hampir memperolehnya pada minit ke-16, namun rembatan Alto Linus yang terbias pertahanan lawan berjaya ditepis penjaga gol Pahang, Mohd Helmi Eliza Elias.

Aksi separuh masa pertama juga menyaksikan skuad Tok Gajah menguasai permainan dengan beberapa serangan berbahaya dan berjaya memperoleh gol kedua pada minit ke-34 menerusi Lazarus Kaimbi.

Gol berkenaan terhasil menerusi gerakan menarik pemain import Pahang itu yang berjaya melepasi dua pertahanan sebelum melakukan penyudah baik bagi menjadikan kedudukan 2-0.

Bermula babak kedua, Sabah yang ketinggalan dua gol bermula garang dengan beberapa serangan bahaya, namun kekebalan Herold Mark Goulon di bahagian pertahan berjaya menafikan tuan rumah untuk mendapatkan gol.

Bagaimanapun, penyerang import Tambadau, Aguinaldo Mendes Veiga, akhirnya berjaya memecah kebuntuan pada minit ke-53 apabila rembatannya terus menewaskan Helmi bagi menjadikan kedudukan 2-1. 

Pahang kemudian cuba bangkit untuk menambah gol dan hampir memperolehnya pada minit ke-58, namun kali ini penjaga gol Sabah, Rozaimie Rohim, menyelamatkan bola rembatan Kaimbi.

Pada minit ke-76, pemain gantian, Rahman Shah Marajeh, memiliki peluang baik untuk menyamakan kedudukan apabila hanya berdepan Helmi yang keluar dari pintu golnya, bagaimanapun sepakan lambung Rahman selepas itu tersasar.

Sabah kemudian sekali lagi mencemaskan pintu gol Pahang pada minit ke-83 menerusi sepakan percuma Alto Linus, namun Helmi menampan keluar bola keluar.

Pada minit ke-85, Pahang terpaksa beraksi dengan 10 pemain apabila Safuwan Baharudin dilayangkan kad kuning kedua oleh pengadil perlawanan, Suhaizi Shukri.

Peluang itu bagaimanapun gagal dimanfaatkan Sabah apabila kedudukan 2-1 itu kekal sehingga wisel penamat.

Advertisement

Must Watch Video