Skip to main content

Bola Sepak

Tok Gajah kuasai Kumpulan C

pahang-vs-perak-2019.jpg
PAHANG 3 PERAK 0

Tiga pemain import menjadi watak pemusnah buat Pahang untuk menjinakkan Perak 3-0 dalam pertembungan Piala Malaysia di Stadium Darul Makmur, sebentar tadi. 


Skuad bimbingan Dollah Salleh itu, yang meniti kemenangan kelapan berturut-turut, memulakan aksi kedua Kumpulan C itu dengan nada positif menerusi beberapa siri serangan awal yang menyaksikan percubaan daripada Lazarus Kaimbi manakala sepakan percuma Saddil Ramdani disia-siakan.

Dalam masa yang sama, padah menimpa penggempur dari Nigeria, Dickson Nwakaeme, seawal minit ke-11 ekoran membantah keputusan pengadil, Wan Mohamad Tarmizi Wan Ibrahim, kerana memberikan sepakan percuma kepada pelawat. 

The Bos Gaurus tenang menyerap asakan sambil mengintai serangan balas dan pendekatan itu mencetus panik di benteng tuan rumah. 

Percubaan Ronaldo Henrique pada minit ke-29 sedikit tersasar, disusuli dua rembatan J. Partiban dalam kotak penalti terkena rakan sepasukannya, Henrique. 

Pemain Pahang menganggap gerakan yang dicetuskan Raianderson Da Costa Morais (Careca) dari sebelah kiri itu ofsaid sebelum ditenangkan selepas meluru ke penjaga garisan untuk melancarkan protes.

Gol Herold Goulon kemudian menggamatkan Stadium Darulmakmur pada minit ke-40 selepas menanduk sepakan percuma Nor Azam Azih, lalu menyemarakkan perseteruan kedua-dua pasukan sejak pertembungan separuh akhir Piala FA 2019.

Ia sehingga menyaksikan jersi ketua pasukan Pahang, Matthew Davies, terkoyak manakala Brendan Gan mengutip kad kuning akibat kekasaran ke atas penjaga gol tuan rumah, Helmi Eliza Elias, sebelum menutup separuh masa pertama. 

Kedua-dua pasukan lebih berhati-hati sementara hujan mulai turun sejak awal separuh masa kedua. 

Perak kemudian memasukkan Shahrel Fikri Md Fauzi untuk menggantikan Partiban bagi menambah sengat di jentera serangan.

Keputusan itu, bagaimanapun, tidak mengubah senario perlawanan, sebaliknya anak buah Dollah Salleh itu mendapatkan gol kedua menerusi Saddil.

Pemain import dari Indonesia itu menyempurnakan umpanan Mohamadou Sumareh untuk menjadikan kedudukan 2-0 pada minit ke-68 sambil Helmi tangkas memastikan kekebalan gawangnya dengan mengekang asakan Shahrel. 

Rakan seposisinya di Perak, Hafizul Hakim Khairul Nizam Jothy, walaupun beberapa kali cemerlang untuk menidakkan usaha lawan, namun tetap ditembusi dengan gol ketiga yang dicetuskan larian deras Kaimbi. 

Keputusan itu meletakkan juara 2013 dan 2014 itu di puncak Kumpulan C setelah membenam Pulau Pinang, Sabtu lalu. 

Keputusan lain:

KUMPULAN A 
KEDAH 0 TERENGGANU 2 

KUMPULAN B
UITM FC 0 PKNKP FC 2

KUMPULAN D
MELAKA UNITED 0 SELANGOR 1 

 

Advertisement

Must Watch Video