Skip to main content

Bola Sepak

Tingkatkan pelaburan untuk bakat bola sepak tempatan

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

masu23.jpg
Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Steven Sim Chee Keong, meminta agar pelaburan ke atas bakat bola sepak tempatan ditingkatkan walaupun Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dibenarkan untuk mengambil pemain naturalisasi.

Beliau berkata penggunaan pemain naturalisasi dalam skuad Harimau Malaya tidak harus melencongkan fokus daripada meneruskan pembangunan sukan itu di peringkat akar umbi.

“Dalam jangka masa panjang, strategi terbaik dalam pembangunan bola sepak negara adalah untuk mencungkil bakat-bakat setempat. Ini telah pun dilakukan selama ini, jadi kita kena lihat strategi pembangunan sukan bola sepak daripada usia muda lagi,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata demikian selepas menjadi tetamu program ‘Bernama Today’ di saluran Bernama News Channel (BNC) di Wisma Bernama, hari ini.

Mengulas mengenai pendapat bahawa penggunaan pemain import dalam saingan Liga Malaysia (Liga-M) merupakan punca kemerosotan prestasi skuad kebangsaan, yang pasukan lebih mengutamakan pemain import di posisi utama seperti penyerang, Steven berkata bakat tempatan harus diketengahkan.

Beliau berkata semua pihak, termasuk jurulatih dan pasukan yang bersaing dalam Liga-M, harus bersedia untuk melakukan pelaburan kepada bakat tempatan.

“Contohnya, mengeluarkan dana, menyediakan kemudahan dan memberikan peluang bertanding serta menunjukkan prestasi kepada pemain tempatan. Itu merupakan komponen penting dalam pembangunan sukan yang kita tidak boleh abaikan sama sekali,” katanya.

Baru-baru ini, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mencadangkan pengambilan pemain naturalisasi dalam skuad kebangsaan.

Cadangan itu mendapat lampu hijau daripada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, namun beliau mengingatkan bahawa jangan sehingga menyisihkan pemain tempatan.

-- BERNAMA

Advertisement

Must Watch Video