Skip to main content

Bola Sepak

Tidak mustahil Jorginho kembali bersama Sarri -- Santos

jorginho-cropped_i2wua5bcaa731g7j73o6zwoa9.jpg
Ejen Jorginho, Joao Santos, tidak menolak kemungkinan pemain tengah Chelsea itu akan meninggalkan The Blues akhir musim ini dan kembali beraksi di bawah kendalian Maurizio Sarri di Juventus.

Pemain Itali, Jorginho, menyertai Chelsea pada 2018 selepas mengikut langkah Sarri berhijrah ke Stamford Bridge daripada Napoli.

Di bawah bimbingan pengendali dari Itali itu, dia menjadi kunci utama buat pasukan, membarisi kesebelasan utama dalam 37 perlawanan Liga Perdana Inggeris ketika musim sulung di England.

Musim ini, dia juga menjadi tonggak utama di bawah kendalian Frank Lampard apabila meledakkan empat gol daripada 23 penampilan liga.

Bagaimanapun, wakilnya, Santos, menjangkakan tawaran akan diterima buat pemain itu dalam jendela perpindahan seterusnya walaupun masih memiliki baki tiga tahun kontrak.

"Kenapa tidak?" katanya apabila ditanya sama ada Jorginho boleh meninggalkan Chelsea.

"Saya pasti beberapa tawaran akan hadir dan kami akan menelitinya bersama pihak Chelsea."

Bagaimanapun, Santos menegaskan keutamaan Jorginho sebaik sahaja tamat saingan domestik bersama Chelsea adalah mewakili Itali dalam saingan Euro 2020.

"Sasarannya adalah Kejohanan Eropah bersama skuad kebangsaan," tambah Santos.

"Terdapat banyak harapan buat skuad kendalian Roberto Mancini itu. Kejohanan Eropah juga adalah pentas terbaik.

"Secara peribadi, dia menjalankan tugas dengan baik di Chelsea dan saya pasti beberapa tawaran akan tiba kerana tidak ramai pemain yang mampu memainkan peranan sepertinya."


Editor: Nafis Abdullah

Advertisement

Must Watch Video

Advertisement: No Ad Tag found