Skip to main content

Bola Sepak

Tiada peluang Kane kembali beraksi -- Pochettino

harry-kane.jpg
Mauricio Pochettino menolak cadangan penyerang Tottenham, Harry Kane, akan turut serta dalam aksi separuh akhir pertama Liga Juara-Juara (UCL) berdepan Ajax. 

Spurs akan berdepan pendahulu Eredivisie itu di Stadium Tottenham, awal pagi esok, dengan skuad kendalian Erik ten Hag itu telah menyingkirkan Real Madrid dan Juventus dalam pusingan kalah mati.

Kane mengalami kecederaan buku lali dalam separuh masa kedua ketika mengatasi Manchester City 1-0 dalam suku akhir pertama -- skuad bimbingan Pochettino mara menerusi kelebihan jaringan di tempat lawan selepas perlawanan berakhir 4-3 memihak City.

Pengendali Spurs itu menjelaskan Kane berkemungkinan akan kembali beraksi dalam aksi final Liga Juara-Juara (UCL) di Madrid, dengan harapan mereka mengatasi Ajax terlebih dahulu.

Bagaimanapun, Lucas Moura telah memberikan bayangan bahawa kapten England itu mungkin sempat cergas untuk beraksi di Amsterdam minggu depan, namun Pochettino memberitahu sebaliknya.

"Lucas tidak berkata Kane sudah pulih," kata Pochettino.

"Kane sedang menjalani proses pemulihan dengan baik. Dia sudah mula berlari. Tetapi kami tidak akan mengambil risiko untuk menurunkannya dengan secepat mungkin.

"Perkara paling penting adalah tumpuannya untuk kembali beraksi. Buat masa ini, kami akan terus menilai perkembangannya.

"Aksi timbal balik? Tiada peluang!"

Spurs turut tanpa khidmat Son Heung-min, yang menjaringkan tiga daripada empat gol dalam aksi suku akhir kerana digantung perlawanan.

Tanggungjawab kini dipikul Lucas, yang mempamerkan aksi mantap dalam ketiadaan Kane di Manchester. 

"Heung-min adalah seorang pemain yang bagus dan penting untuk kami," kata Lucas.

"Kami akan terasa ketiadaannya tetapi kami memiliki pemain yang mampu menggalas tugasnya. Kami memiliki skuad yang baik dan bersedia untuk menampilkan permainan cemerlang.

"Heung-min akan kembali bersama pasukan dalam aksi timbal balik dan saya berharap Kane dapat pulih dengan segera," tambahnya.

Vincent Janssen dijangka turun selaku penyerang utama ketika Kane masih lagi dalam proses pemulihan, dengan Pochettino menolak cadangan mereka akan bermain untuk mendapatkan keputusan seri tanpa jaringan.

"Tidak, mengapa 0-0 adalah keputusan yang bagus?

"Selepas perlawanan saya akan memberitahu anda, sebelum perlawanan kami akan berusaha menampilkan aksi terbaik dan cuba memenangi perlawanan ini."
 

Advertisement

Must Watch Video