Skip to main content

Bola Sepak

Tiada masalah siapa kapten -- Adib

300517adibzainudin.jpg
Pertahanan skuad bola sepak bawah 22 tahun negara, Adib Zainuddin, tetap akan memberikan aksi terbaiknya untuk menghadirkan pingat emas dalam Sukan SEA walaupun tidak lagi memainkan peranan selaku ketua pasukan.

Lilitan kapten skuad bawah 22 tahun negara menjadi tumpuan selepas pasukan yang dikenali skuad projek ini mempunyai nahkoda baru.

Ia susulan Datuk Ong Kim Swee kembali ke pangkuan skuad pelapis kebangsaan bagi menggantikan tempat Frank Bernhardt yang disingkirkan pada Mac lalu.

"Pada saya, siapa yang menjadi ketua, itu bukan satu masalah. Apa yang penting adalah kerjasama antara pemain," katanya.

Sebelum ini, tugas kapten digalas Adib yang juga pertahanan Felcra FC, namun mungkin berlaku perubahan di bawah bimbingan Kim Swee.

Adib mula memikul tugas kapten Oktober tahun lalu selepas Mohamad Faris Shah Rosli ditimpa kecederaan ligamen lutut (ACL).

Sementara itu, Kim Swee mengesahkan pelantikan kapten pasukan itu akan dibuat selepas semua pemain dapat dikumpulkan bersama tidak lama lagi.

"Memandangkan kedua-dua (Matthew Davies dan Muhd Nor Azam Abdul Azih) masih bersama skuad kebangsaan, saya akan menunggu kehadiran mereka untuk calon ketua pasukan baru.

"Ia terpulang kepada analisis yang saya peroleh sewaktu bersama pemain," kata Kim Swee.

Tiga aksi persahabatan di China bulan depan menjadi titik tolak kebangkitan skuad kendalian Kim Swee dalam persiapan untuk Sukan SEA, 19-30 Ogos nanti.
 

Advertisement

Must Watch Video