Skip to main content

Bola Sepak

Tiada laluan mudah buat JDT -- Amirzafran

wan-amirzafran-220717.jpg
T-Team bakal melayan kunjungan Johor Darul Ta'zim (JDT) di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu bagi aksi Liga Super malam ini dan skuad kendalian Rahmad Darmawan itu bertekad untuk tidak memberikan laluan mudah buat Harimau Selatan.

T-Team berada dalam situasi sukar ketika ini untuk mencari prestasi sebenar selepas sekadar merakamkan satu kemenangan dalam tiga aksi terakhir Liga Super.

Kelemahan benteng dilihat serius memandangkan mereka telah dibolosi 10 gol dalam tiga perlawanan itu dan lima daripadanya ketika tewas kepada Felda United, minggu lalu, sekaligus bakal membuka selera jentera serangan JDT yang diketuai oleh penyerang import, Mohammed Ghaddar.

Bagaimanapun, bagi pertahanan T-Team, Wan Ahmad Amirzafran Wan Nadris, segala-galanya tidak mustahil seandainya rakan sepasukannya menampilkan aksi berdisiplin untuk menafikan setiap serangan anak buah Ulisses Morais.

"Kami kalah di tangan Felda 5-1 dan moral agak menurun tetapi apabila berjaya meraih keputusan seri menentang Pahang baru-baru ini, kini semangat pemain semakin baik," kata Amirzafran.

Dalam masa sama, motivasi serta keyakinan T-Team untuk membuatkan JDT berputih mata juga bersandarkan kepada statistik yang memberangsangkan kerana mereka masih belum tewas di laman sendiri sejak 4 Februari lalu.

"Rekod kami di laman sendiri agak bersih dan walaupun JDT pasukan pilihan, kami akan bersungguh-sungguh untuk memastikan rekod itu tidak tercalar," tambahnya.

Advertisement

Must Watch Video