Skip to main content

Bola Sepak

TFC sukar terima kekalahan

img_6477.jpeg
Pengendali Terengganu FC (TFC), Irfan Bakti Abu Salim, sukar menerima kekalahan 3-5 kepada PJ City FC sehingga enggan ditemui media selepas perlawanan malam tadi.

Pembantunya, Mohamad Nik, berkata kem TFC berada dalam kejutan selepas dibolosi lima gol walaupun mendahului 3-0 sehingga tamat separuh masa.

Menurut Mohamad, TFC mulai tertekan sebaik pihak lawan menyamakan kedudukan dan banyak kesilapan dibuat menyebabkan pasukan sentiasa dalam bahaya.

"Pemain-pemain dilihat tidak selesa dengan bola dan lebih banyak menjadi pemerhati serta lambat menutup ruang.

"Lima gol berpunca daripada hantaran, contohnya kelekaan Hasnizaidi (Jamian), sepatutnya sebagai pertahanan dia boleh mencabar bola itu," ujarnya.

Mohamad begitupun menafikan pemain-pemain TFC dibuai sikap terlalu berpuas hati dengan bekalan tiga gol di dalam bilik persalinan.

Mereka akhirnya dihukum corak agresif  PJ City yang menggunakan kelebihan fizikal serta kecederaan Nabil Ahmad Latpi turut merencatkan rentak TFC di bahagian sayap.

Kekalahan itu menyaksikan TFC terlepas peluang naik ke tangga keempat, sebaliknya menghuni kedudukan kelapan dengan 16 mata, dua mata mengatasi PJ City.

"Tiada langsung usaha menambah jaringan dalam babak kedua dan PJ City menyamakan kedudukan 3-3 dalam masa 12 minit.

"Sukar untuk kami terima kekalahan ini," jelas Mohamad.

Advertisement

Must Watch Video