Skip to main content

Bola Sepak

Terry dinasihati agar teruskan karier

terry-230517.jpg
John Terry mengakui tertarik untuk meneruskan kerjayanya selepas meninggalkan Chelsea sambil pengalaman bekas rakan sepasukan di kelab dan negara mengingatkannya bahawa usah terburu-buru untuk bersara.

Terry memberitahu pemberita bahawa dia berasa "lelah dari segi fizikal" selepas membuat penampilan terakhir penuh beremosi di Stamford Bridge, kelmarin.

Pemain berusia 36 tahun itu digantikan selepas minit ke-26 dalam kemenangan 5-1 ke atas Sunderland -- untuk sepadan dengan nombor jersi yang disarungnya sepanjang membuat 717 penampilan bersama Chelsea -- dan diberi penghormatan oleh rakan sepasukannya.

Selepas meraikan kejuaraan kelima Liga Perdana Inggeris (EPL), Terry hanya memainkan peranan kecil di bawah asuhan Antonio Conte serta mendedahkan dia telah bercakap dengan Frank Lampard dan Jamie Carragher bagi mendapatkan nasihat mereka untuk langkah seterusnya.

"Saya perlu memikirkan, 'Apakah John Terry mahu lakukan?'," katanya.

"Sebaik sahaja anda berhenti, itu sahaja. Saya telah membuat beberapa panggilan kepada bekas pemain, Jamie Carragher, Lampard.

"Semua orang berkata, 'beraksi selagi anda berdaya'.

"Saya tidak mahu menjadi pemain yang berkata, 'Saya seharusnya beraksi selama beberapa tahun lagi.' Anda tidak boleh menggantikan detik-detik itu.

"Apabila saya bermain menentang Watford minggu lepas, bau rumput setelah hujan memberikan sedikit semangat. Semua itu perkara-perkara yang anda tidak hiraukan selama ini. Ia perkara-perkara yang anda akan rindui.

"Sebaik-baiknya, saya mahu bermain selagi boleh.

"Secara fizikalnya, saya tahu saya boleh. Tahun ini, saya mungkin lebih cergas berbanding sebelum-sebelum ini. Saya berusaha keras dengan taktikal dan ia mengambil masa empat atau lima perlawanan untuk mendapatkan ketajaman.

"Tetapi keinginannya itu tetap membara dalam diri saya untuk terus berjuang dan memenangi sesuatu.

"Semuanya adalah pilihan. Saya tidak menolak apa-apa. Sama ada bersara, terus bermain, beralih kepada pengurusan -- saya dalam peringkat pertengahan mendapatkan lesen 'B'.

Kata Terry lagi: "Kita semua berasa kita boleh bermain sehingga usia 40 tahun tetapi salah satu cara untuk berhijrah adalah seperti ini."

 

Advertisement

Must Watch Video