Harimau Malaya bagaikan selangkah ke Arab Saudi selepas diundi bersama Nepal, Laos dan Vietnam dalam Kumpulan F menjelang pusingan ketiga Kelayakan Piala Asia 2027, tahun depan.

Sebelum ini, Malaysia diletakkan dalam Pot 2 ekoran kemas kini perbezaan ranking Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

Undian yang berlangsung di Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) House, Bukit Jalil menyaksikan skuad kebangsaan seakan mendapat laluan mudah apabila bertemu Laos dan Nepal.

Juara Piala AFF Suzuki 2018, Vietnam, menjadi seteru utama Malaysia tatkala mahu melayakkan diri secara merit ke kejohanan berprestij itu.



Skuad kebangsaan mempunyai kelebihan rekod kemenangan berdepan Laos dan Nepal, namun tugas sebenar menanti Harimau Malaya tatkala Vietnam juga mahu mengulangi pencapaian mereka dalam Piala Asia.

Ke semua aksi ini dibahagikan kepada enam kumpulan dengan hanya juara setiap kumpulan akan mara ke pusingan akhir Piala Asia 2027 di Arab Saudi bermula Mac tahun depan

Malaysia wajib muncul juara kumpulan jika mahu mengulangi pencapaian mara ke pusingan akhir Piala Asia 2023.