Skip to main content

Bola Sepak

Terima kasih bola sepak -- Pochettino

pochettino.jpg
Pengurus Spurs, Mauricio Pochettino, dapat berasakan semangat ketika pasukannya mencetuskan inspirasi untuk bangkit melangkah ke final Liga Juara-Juara (UCL).

Spurs akan berdepan Liverpool di Madrid bulan depan, namun mereka terlebih dahulu dipaksa mengejar perlawanan selepas ketinggalan 3-0 secara agregat ketika peralwanan berbaki 45 minit di ArenA Johan Cruijff, awal pagi tadi.

Jaringan daripada kapten Ajax, Matthijs de Ligt, dan Hakim Ziyech mengukuhkan kelebihan jaringan yang dihasilkan oleh Donny van de Beek ketika beraksi dalam aksi pertama di Stadium Tottenham Hotspur, tetapi Lucas Moura menyumbat dua jaringan pantas sebelum melengkapkan hatrik pada penghujung permainan.

Kedua-dua pasukan menggegar ketika mencari jaringan kemenangan, namun Lucas tenang menyumbat masuk hantaran Dele Alli untuk membawa Spurs ke Wanda Metropolitano bulan depan.

Debaran yang sama terhasil seperti perlawanan suku akhir berdepan Manchester City apabila Spurs sekali lagi melangkah menerusi kelebihan jaringan di tempat lawan.

"Terima kasih bola sepak; terima kasih pemain-pemain ini. Saya memiliki barisan pemain yang bertaraf wira," kata Pochettino.

"Emosi sebegini, tanpa bola sepak, saya berasakan sukar untuk mendapat pengalaman sebegini.

"Terima kasih kepada penyokong dan terima kasih kepada mereka yang sentiasa percaya dengan pencapaian ini," katanya.

Pochettino menyimpan pujian istimewa buat Lucas, yang membawa pulang bola perlawanan selepas melengkapkan jaringan hatrik.

"Pemain-pemain Spurs adalah wira tetapi Lucas, dia seorang adiwira, dia berhak untuk meraih kejayaan ini.

"Kami telah berjuang selepas lima tahun dan kini kami berpeluang ke final."

Bergelut untuk menahan daripada mengeluarkan air mata, Pochettino berkata, "Kejayaan ini juga untuk keluarga saya, mereka sentiasa menyokong saya setiap masa."

Advertisement

Must Watch Video