Seperti saya, ramai yang rasanya turut berkongsi detik-detik emosional perpisahan penyerang veteran Amri Yahyah dengan Sabah FC pada penghujung perlawanan ke-26 Liga Super menentang Kedah Darul Aman (KDA) FC di Stadium Likas, malam tadi.
Semakin lama minit-minit permainan berjalan, semakin resah menantikan kemasukannya buat kali terakhir. Namun, sejurus mengambil tempatnya sebagai pemain gantian pada minit ke-85, semakin berat pula untuk melepaskannya pergi.
Perihal Amri menolak untuk dipakaikan lilitan lengan kapten sejurus masuk menggantikan Saddil Ramdani dan akhirnya merelakan setelah dikerah Rizal Ghazali, itu tentunya antara detik-detik yang tidak akan dilupakan.
Pada saya, Amri, antara penyerang terbaik yang pernah dilahirkan negara, adalah seorang pemain yang unik dengan caranya sendiri. Mungkin dia mudah saja disalahertikan sebagai pemain yang gila-gila dan keras kepala tapi di sebalik semua itulah tersembunyi keistimewaan dirinya.
Sebagai seorang pemain yang banyak berperjalanan -- Selangor, Johor Darul Ta’zim (JDT), Melaka United dan Sarawak United adalah antara kelab lain yang pernah menagih khidmatnya – pengalaman luasnya harus menjadi aset kepada mana-mana pasukan untuk tujuan pembangunan bakat muda selepas ini.
Daripada semua itu, sejumlah 16 tahun yang dihabiskannya bersama Selangor (2001–2013) dan (2017–2019) serta pasukan kebangsaan (2004–2017) adalah tempoh gemilang yang mewarnai kerjayanya.
Secara peribadi, saya punya kenangan suka-duka bersama Amri. Saya ketika itu sudah bergelar pemain senior Selangor apabila dia menyertai skuad Merah Kuning di bawah bimbingan jurulatih, Abdul Rahman Ibrahim, pada musim 2001.
Perlawanan akhir Piala FA 2001 di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada tanggal 10 Jun 2001 menjadi detik kegemilangan kami bersama. Berdepan Sarawak diketuai Jalil Rambli, kedudukan terikat 0-0 sehinggalah pemain pertahanan, D. Surendran, menjaringkan ‘gol emas’ pada minit ke-109.
Saya digantikan Khairun Haled Masrom dalam final itu manakala Amri pula masuk menggantikan Jaafar Salleh tapi pada penghujungnya kami sama-sama dikalungkan pingat kejuaraan.
Ketika saya berpindah menyertai Sabah FC pada musim berikutnya, Amri kekal selaku tonggak penting untuk memacu Selangor kepada kejuaraan ‘treble’ Liga Perdana, Piala FA dan Piala Malaysia pada 2005.
Saya masih ingati bagaimana kami bersemuka sebagai lawan dalam final Piala Malaysia 2002. Ketika permainan berlanjutan ke masa tambahan selepas kedudukan terikat 0-0, Amri adalah pemain yang tampil dengan ‘gol emas’ untuk Sabah yang saya wakili ditundukkan kesudahannya.
Benarlah seperti disimpulkan ramai, Amri meraikan persaraannya pada usia 42 tahun selepas bergelumang selama 22 tahun dalam bola sepak profesional yang menyaksikannya melakukan 692 penampilan, menyumbat 186 gol dan meraih 19 trofi.
Cuma, saya berasa sedikit ralat kerana satu hantaran rendah Rizal Ghazali pada masa kecederaan malam tadi yang dapat dikuisnya gagal menewaskan penjaga gol KDA FC Kalamullah Al Hafiz untuk jaringan. Jika tidak, ia harus menjadi satu catatan paling istimewa untuk menutup kerjayanya.
Namun, penampilannya dalam 16 perlawanan untuk membantu Sabah FC mengekalkan tangga ketiga liga – seperti musim lalu – harus lebih daripada memadai sebagai cendera hati perpisahannya kepada penyokong Sang Badak.
Siapa yang boleh melupakan dua golnya yang menewaskan dua penjaga gol Manchester United pada malam yang sama pada bulan Julai 2009. Sepakan lambungnya dari jarak kira-kira 25 meter menewaskan Edwin van der Sar dan ini disusuli pula oleh kecepatannya memintas penjaga gol gantian, Ben Foster, dalam kekalahan 2-3 skuad kebangsaan hasil gol Michael Owen.
Kemudian, dalam satu perlawanan pra-musim pada Ogos 2013, sepakan lencongnya menewaskan barisan Bintang-bintang FC Barcelona, dengan Victor Valdes di pintu gol serta David Alves, Gerard Pique, Sergio Busquets dan Jordi Alba memagarinya.
Ketika ramai pemain seangkatannya sudah pun bersara, Amri masih mampu memukau dengan hatriknya ketika Sabah FC membelasah KDA FC 4-0 dalam satu aksi Liga Super di Stadium Likas pada April tahun lalu.
Ada yang bertanyakan apa perasaan saya melihat persaraan Amri?
Sedih sudah tentu tapi saya juga gembira dengan pencapaiannya.
Sekalipun dia bukanlah seorang pemain yang lengkap serba-serbi, Amri memiliki aura yang membuat dia istimewa. Diberi peluang untuk dia berbuat sesuatu bersendirian pun, tanpa bantuan rakan-rakan, dia boleh buat.
Selamat bersara dan selamat maju jaya, Amri.