Skip to main content

Bola Sepak

Terima kasih Ahmad Faizal -- Adly

perak.jpg
Pengurus Perak, Datuk Adly Shah Ahmad Tah, berterima kasih kepada Presiden Persatuan Bolasepak Perak (PAFA), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, di atas usahanya memperkasakan The Bos Gaurus bagi mengharungi baki kempen Liga Malaysia (Liga-M) 2019.

Bagi Adly, langkah mengambil Ronaldo Henrique Silva dan Raianderson Da Costa Morais bertepatan bagi mengatasi kepincangan jentera serangan Perak.

"Syukur dan terima kasih kepada presiden PAFA kerana prihatin dengan keperluan pasukan.

"Mudah-mudahan usaha ini akan membuahkan ganjaran lumayan dan Perak peroleh kejayaan cemerlang, terutama dalam saingan Piala FA," kata Adly selepas majlis memperkenalkan dua pemain itu oleh Ahmad Faizal di pejabatnya.

Mereka menggantikan Gilmar Jose Da Silva dan Wunder Luiz Biten Court Junior sempena jendela perpindahan kedua musim ini.

Gilmar ditamatkan kontrak kerana  kemerosotan prestasi sementara Luiz menarik diri kerana masalah kesihatan anaknya.

"Saya yakin kehadiran dua pemain itu mampu mengatasi masalah kerumpulan jentera serangan yang dihadapi dalam pusingan pertama liga serta Piala FA," tambahnya.

The Bos Gaurus setakat ini hanya memenangi dua perlawanan, seri lapan dan kalah dalam dua perlawanan bagi mengutip 14 mata.

Apa yang lebih penting bagi Adly, Perak akan turun berdepan pasukan senegeri, PKNP FC, dalam suku akhir kedua Piala FA di Ipoh, Sabtu ini.

"Saya berharap kehadiran mereka akan mengubah nasib pasukan yang terumbang-ambing ketika ini.

"Kami menguasai permainan dan mencipta banyak peluang tetapi tiada penyudah," ujarnya.

Advertisement

Must Watch Video