Skip to main content

Bola Sepak

Terengganu tuju kemenangan untuk Suffian

terengganu-piala-malaysia-2019.jpg
"Saya harap semangat Suffian (Ab Rahman Kungi Raman) dibawa untuk ulangi kemaraan ke final."

Itu antara luahan Mohd Nafuzi Zain selepas Terengganu FC (TFC) meraih kemenangan ketiga dalam aksi Kumpulan A, Piala Malaysia dengan mengatasi Negeri Sembilan, malam tadi.

Jurulatih sementara itu mengakui TFC cukup bersedih dengan berita kematian penjaga golnya itu, kurang lapan jam sebelum sepak mula di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah.

Pengendali itu berkata dia hanya boleh meminta pemain-pemainnya untuk bertabah dan menghadiahkan kemenangan tersebut kepada Allahyarham.

"Setiap minit berlalu kami bermain untuknya kerana tahu dia wira yang membawa TFC ke final musim lalu," katanya. 

Mengulas lanjut kemenangan 3-1 itu, bekas pemain tengah negara itu mengakui TFC berada dalam tekanan sebaik pihak lawan merapatkan kedudukan.

Kerisauan Nafuzi kemudian dibalas dengan gol ketiga peribadi Kipre Tchetche di penghujung aksi, sekali gus memastikan TFC sebelah kaki mara ke suku akhir.

"Saya dah jangka perlawanan yang sukar dan malam ini (semalam) Negeri Sembilan tunjuk mereka masih pasukan yang baik.

"Situasi sama juga pasti dilalui pasukan saya dalam aksi timbal balik di Paroi, minggu depan," tambahnya.

Advertisement

Must Watch Video