Skip to main content

Bola Sepak

Terengganu kekal terajui Kumpulan A

felcra-fc.jpg
FELCRA 1 TERENGGANU 4

Lee Tuck muncul wira Terengganu apabila meledak hatrik ke atas Felcra dalam kemenangan 4-1 dalam kempen Piala Malaysia, malam ini. 


Pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras, pemain tengah, Lee Andrew Tuck muncul wira pasukan Terengganu apabila meledakkan hatrik pada minit ke-22, 60 dan minit ke-79 dan kapten pasukan, Tchetche Hermann Brice Kipre, menjaringkan gol pada minit ke-17

Felcra meraih gol tunggal seawal minit ketiga menerusi pemain tengah, David Laly.

Satu lagi saingan kumpulan A, Perak kekal berada di kedudukan kedua dengan tujuh mata selepas menewaskan Kuala Lumpur 1-0 menerusi jaringan kapten pasukan, Mohamad Nasir Basharudin pada minit ke-19 di Stadium Negeri Pulau Pinang, Batu Kawan.

Sementara itu pasukan Harimau Selatan, Johor Darul Ta’zim (JDT) mendahului kumpulan C dengan enam mata selepas menumpaskan Kelantan 1-0 di Stadium Tan Sri Dato' Haji Hassan Yunos.

Bermain di halaman sendiri, juara bertahan, JDT lebih menguasai perlawanan dengan beberapa percubaan daripada Ahmad Hazwan Bakri dan Fernando Gaston Elizari Sedano pada awal perlawanan.

Gol tunggal itu menerusi rembatan kencang Fernando Andres Marquez pada minit ke-64. Kelantan kini menghuni kedudukan ketiga dengan empat mata.

Dalam pada itu, dua lagi pasukan dalam kumpulan yang sama iaitu perlawanan antara pasukan MIFA dan Kedah akan berlangsung di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya esok.

Di Stadium Darul Makmur menyaksikan tuan rumah, Pahang hanya mampu mencatat keputusan seri tanpa jatringan menentang PKNP FC pada pusingan kedua peringkat kumpulan D.

Seawal babak perlawanan, kedua-dua pasukan mempamerkan saingan sengit dengan Pahang hampir memperoleh gol pertama pada minit ke-13 menerusi tandukan Muhammad Shahrul Nizam Mohd Nadzir namun hanya melewati palang.

Skuad Pahang sekali lagi mencipta peluang keemasan melalui rembatan kencang Muhammad Safuwan Baharuddin pada minit ke-26, tetapi tendangannya itu sedikit melepasi tiang gol.

Kedudukan dua pasukan itu setakat ini tidak berubah dengan Pahang mendahului kumpulan dengan lapan mata dan PKNP FC di kedudukan ketiga dengan tiga mata.

Dua lagi pasukan iaitu perlawanan Selangor menentang Sabah akan beraksi esok di Stadium Shah Alam.

-- BERNAMA

Keputusan lain: 

PERAK 1 KUALA LUMPUR 0

PKNP 0 PAHANG 0

JOHOR DARUL TA'ZIM 1 KELANTAN 0

*Gambar pusingan pertama 

 

Advertisement

Must Watch Video