Selaku juara, Terengganu diraikan dengan penuh gemilang dan meriah! Seluruh negeri Terengganu sama-sama berpesta menyambut kemenangan bersejarah ini.

Lumpuh di setiap daerah bermula di Kemaman sehinggalah Kuala Besut nun di sempadan Kelantan.

Stadium Nasional Bukit Jalil jadi saksi kemenangan bersejarah Terengganu menewaskan Perak pada tahun 2001 iaitu 22 tahun yang lalu. Sapian Wahid muncul wira sang penyu menerusi gol kemenangan skuad yang dibimbing Mat Zan Mat Aris di depan puluhan ribu penyokong.

Kenapa perlu aku imbas semula kejayaan Terengganu ini ?

Kerana itulah satu-satunya kejayaan Terengganu merangkul Piala Malaysia dalam 4 penampilan di pentas final Piala Malaysia iaitu 1998, 2001, 2011 dan 2018. Dan saya berada dalam sejarah keraian Terengganu di Kuala Terengganu pada 2001.

Aku ditugaskan ( ketika itu saya wartawan penyiaran Sports & Events Network ) untuk ke Kuala Terengganu membuat liputan pasca final Piala Malaysia selama 3 hari.

Banyak pengamalan menarik aku sepanjang aku berada di sana. Selama 3 hari itulah aku dan krew menerima undangan pelbagai majlis yang dianjurkan samada kerajaan negeri, pengurusan pasukan Terengganu, pemilik kedai makan dan restoren, kelab penyokong, JKKK kampong dan orang perseorangan.

Hampir setiap waktu kami dijamu dengan hidangan lazat sempena majlis kesyukuran mahupun majlis rasmi. Hidangan kambing golek antara menu paling banyak ketika itu.

Malah restoren dan kedai-kedai makan pasti menawarkan makan percuma dek kerana terlalu gembira, apatah lagi mereka ditemubual tentang kejayaan Terengganu ini.

Pemain-pemain Terengganu seperti Hairudin Omar, Nafuzi Zain, Mazlan Wahid, Sapian Wahid, Rosdi Talib antara yang turut mengajak kami bertandang ke rumah menikmati hidangan tanda ucapan terima kasih.

Pengalaman selama 3 hari aku hanya di Kuala Terengganu waktu itu sangat indah untuk diceritakan. Dan tak disangka pula apabila memori itu tidak pernah dapat diulang biapun selepas itu Terengganu mara ke final sebanyak 2 kali ( 2011 & 2018 ).

8 Disember 2023, Terengganu akan sekali lagi beraksi di final buat kali ke 5. Berdepan sang jagoan dari selatan, Johor Darul Takzim di stadium yang pernah menobatkan mereka juara 22 tahun dulu.

Selamat berjuang Terengganu dan juga JDT!