Skip to main content

Bola Sepak

Ter Stegen puji De Gea ketika Barca sasar ke separuh akhir

ter-stegen.jpg
Marc-Andre ter Stegen gembira untuk sekali lagi bertemu David de Gea ketika Barcelona sedang bersedia untuk menantikan "lawan yang sedang lapar", Manchester United, dalam suku akhir kedua Liga Juara-Juara Eropah di Camp Nou, awal pagi esok.

Pendahulu LaLiga, Barca, memegang kelebihan satu gol selepas menewaskan skuad kendalian Ole Gunnar Solsjaer itu 1-0 di Old Trafford dalam perhitungan pertama minggu lalu hasil jaringan sendiri pertahanan United, Luke Shaw.

Bagaimanapun, De Gea tetap memaparkan aksi luar biasa dalam kekalahan itu dan Ter Stegen, yang memastikan empat rekod tanpa bolos daripada lima perlawanan terakhir Barca, percaya penjaga gol Sepanyol itu merupakan antara yang terbaik di dunia.

"Dia merupakan antara penjaga gol terbaik buat masa ini," katanya dalam sidang media.

"Dia menghadapi musim yang baik dan sentiasa hebat sejak beberapa tahun lalu.

"Ia penting bagi menjamin kejayaan.

"Saya berasakan dia merupakan antara pemain terpenting buat Manchester United.

"Ia sentiasa bagus untuk berdepan pemain sepertinya.

"Anda bersaing di peringkat tertinggi dan itulah yang kami semua inginkan.

"Perlawanan esok akan menjadi sukar buat saya dan dia.

"Saya fikir objektif kami sama, untuk memastikan gawang tidak dibolosi, namun kami akan memastikan mereka akan berdepan kesukaran," katanya.

Ter Stegen menikmati satu lagi musim membanggakan di Barca walaupun penjaga gol kebangsaan Jerman itu lebih mengutamakan kejayaan pasukan berbanding dirinya sendiri.

"Saya memilih untuk memenangi kejuaraan.

"Anugerah peribadi itu bagus tetapi saya mahu memenangi LaLiga.

"Kami berdepan lawan yang sedang lapar, sama seperti kami.

"Mereka pernah memenangi aksi di gelanggang lawan dan kami pula hanya memiliki kelebihan yang amat tipis.

"Kami bukan hanya mahu bertahan tetapi membuktikan kami pasukan yang lebih baik.

"Segala-galanya boleh terjadi dalam Liga Juara-Juara seperti yang berlaku sepanjang tiga musim lalu.

"Kami mahu menang, layak dan membuktikan kami pasukan yang lebih baik berbanding United.

"Kami mahu memenanginya dengan cara kami," katanya.

Advertisement

Must Watch Video