Skip to main content

Bola Sepak

Teguran di bilik persalinan kunci kejayaan PDRM singkir Sarawak

patrick-ronaldihno.jpg
Penolong jurulatih PDRM, Wan Mustaffa Wan Ismail, memuji kebangkitan The Cops apabila menyumbat lima gol dalam babak kedua untuk menewaskan Sarawak 5-2, semalam.

PDRM mempamerkan aksi longlai dalam babak pertama bagi perlawanan pusingan kedua Piala FA itu yang sebelum ini ditunda ekoran hujan lebat dan petir.

Situasi itu menyaksikan gawang The Cops dibolosi dua gol dalam babak pertama selepas Georgi Kinkladze dan  Mohamad Alif Hassan meraih jaringan buat skuad Ngap Sayot itu.

Namun, selepas keluar dari bilik persalinan, PDRM mempamerkan karakter berbeza apabila meraih tiga gol dalam tempoh kurang daripada 15 minit sebelum menambah dua lagi gol.

Penyerang import, Patrick Ronaldinho Wleh, muncul watak penting dengan meledak jaringan hatrik untuk membantu PDRM mara ke pusingan ketiga.

"Ketika rehat, saya memberitahu pemain supaya percaya dengan taktikal yang diterapkan. 

"Kalau pemain ikut taktikal yang dirancangkan, kami akan dapatkan gol," ujar Wan Mustaffa. 

Kekalahan itu tampak sudah dijangka bagi kem pasukan Sarawak walaupun mereka melakar kejutan mendahului perlawanan dengan dua gol.

Ini setelah pasukan itu hanya beraksi dengan seorang pemain import tatkala ketua pasukan, Bobby Gonzales, pula terpaksa dikeluarkan ekoran kecederaan pada awal permainan.

"Pasukan ini sedang dibentuk semula dan apabila kami kehilangan Bobby Gonzales, kami kehilangan arah," ujar penolong jurulatih Sarawak, Denny Da'ail. 

 

Advertisement

Must Watch Video