Skip to main content

Bola Sepak

Tawaran lumayan ke Real tidak gugat tumpuan Mbappe

8517kylianmbappe.jpg
Penyerang Monaco, Kylian Mbappe, tidak akan membenarkan perbincangan mengenai perpindahannya ke Real Madrid mengganggunya dalam usaha membantu pasukannya menjuarai Ligue 1.

Skuad kendalian Leonardo Jardim itu selangkah lebih hampir untuk kembali bergelar juara Perancis sejak tahun 2000 apabila menewaskan Nancy 3-0, kelmarin.

Mbappe direhatkan dalam perlawanan itu dalam usaha mereka untuk mencipta kebangkitan dalam aksi kedua Liga Juara-Juara (UCL) berdepan Juventus selepas ketinggalan 2-0.

Pemain berusia 18 tahun itu telah menjaringkan 24 gol dalam semua kejohanan musim ini dan prestasinya terus melonjak ketika beraksi di pentas Eropah.

Terdapat beberapa laporan yang mencadangkan bahawa Real Madrid sudah menyediakan tawaran untuk mendapatkan khidmat Mbappe selepas pengurus, Zinedine Zidane, memuji kualiti yang dimiliki oleh pemain muda itu.

Bagaimanapun, pemain yang meraih penampilan pertama bersama Perancis pada Mac itu memberikan tumpuan sepenuhnya untuk menghabiskan tugasnya dengan menjuarai Ligue 1.

"Kami memiliki sasaran yang sama dan mahu memenangi gelaran bersama kelab saya," kata Mbappe.

"Setakat ini, tiada apa yang mengganggu saya dan saya mahu memberikan yang terbaik untuk Monaco."

Monaco kini memiliki kelebihan tiga mata ke atas Paris Saint-Germain (PSG) di persada Ligue 1 dengan berbaki tiga perlawanan musim ini.

Advertisement

Must Watch Video