Usaha Liga Bolasepak Malaysia (MFL) dalam menentukan tarikh sepak mula Liga Malaysia (Liga-M) 2024 tidak semudah disangka.

Ini memandangkan hingga ke saat ini, penganjur kancah tempatan itu, MFL, masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi berhubung tarikh bermulanya saingan liga musim 2024/2025 selain tarikh tutup jendela perpindahan pemain untuk musim depan.

Difahamkan banyak pasukan yang sedang menunggu aturan terkini daripada MFL, sekali gus perancangan musim depan sekurang-kurangnya mampu berjalan lancar mengikut ketetapan penganjur.




"Kami tidak mahu penjadualan kami menjadi teori kepada kecederaan (berlaku) ke atas pemain, ketidaksediaan pasukan dan pemain.

"Dan soalan itu akan kembali kepada MSL (kerana kalau) hari ini kami tentukan tarikh tapi esok kami kena jawab pasal kecederaan.

"Ini juga berlaku musim lalu, pada penghujung musim kami mengambil masa seminggu (untuk jadual) musim baru dan tarikh perpindahan juga akan dikeluarkan dalam masa sama.

"Dalam tempoh 5-6 hari, kami akan selesaikan kajian dan dapatkan pendapat berbeza daripada pasukan-pasukan," kata Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), MFL, Datuk Stuart Ramalingam, di Nadi Arena sebentar tadi.

Rentetan jadual padat sepanjang musim 2023, selain pemain kebangsaan yang terlibat dengan skuad kebangsaan dalam Piala Asia 2024, segala-galannya perlu diperhalusi kerana bimbang ia memberi kesan kepada pemain dan boleh mengundang kecederaan.



"Sebelum ini kami tidak tahu siapa yang akan mara ke peringkat kalah mati.

"JDT (Johor Darul Ta'zim), Terengganu dan Sabah (sebelum ini bersaing) di peringkat kumpulan, (kini) kami sudah sampai ke penghujung liga dan kami sudah tahu hala tuju musim hadapan.

"Jadi sekarang kami sudah dapatkan maklumat yang mencukupi untuk dapatkan pandangan daripada beberapa pihak," katanya lagi.

Apa pun, dalam tempoh seminggu lagi semua persoalan ini bakal terjawab selepas mengambil kira beberapa keutamaan yang lain.