Skip to main content
ligasuper

Jom Undi Gol Terbaik Liga Super Sekarang!

Bola Sepak

Tambadau uji Shitembi di Surabaya

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

petrus-shitembi580.jpg
Sabah bakal menguji calon pemain import terbaru mereka, iaitu pemain tengah kebangsaan Namibia, Petrus Shitembi, dalam aksi pra musim mereka di Surabaya, Indonesia. 

Shitembi, 27, antara 24 pemain yang diterbangkan ke Surabaya dan keputusan sama ada dia akan menyarung jersi Tambadau atau tidak bergantung kepada aksinya nanti. 

Pengurus Sabah, Henry Soimpon, ketika dihubungi mengesahkan Shitembi antara yang tersenarai dalam skuad mereka untuk aksi pra-musim di Indonesia. 

"Kita akan lihat persembahannya nanti sama ada dapat memikat barisan jurulatih yang diketuai Kurniawan (Dwi Yulianto) atau tidak," katanya ketika dihubungi hari ini. 

Setakat ini, Sabah sudah memiliki empat pemain import dengan dua daripada mereka, Rodoljub Paunovic dan Park Taesu, dikekalkan daripada musim lalu. 

Mereka sebelum ini juga telah membawa kembali penyerang yang pernah menyarung jersi Sabah pada 2018, iaitu Hector Omar Ramos, serta seorang pemain baru dari Thailand, Dennis Buschening, yang mengisi slot import dari Asia Tenggara. 

Henry berkata skuad Sabah telah berlepas ke Kuala Lumpur awal pagi tadi dan seterusnya menyambung penerbangan ke Surabaya.

Pasukan yang kembali memeriahkan saingan Liga Super pada musim baru nanti bakal mengadakan perlawanan persahabatan dengan Persebaya Surabaya, Sabtu ini. 

Selepas itu, mereka akan bersaing pula dalam kejohanan jemputan bagi merebut Piala Gabenor Jawa Timur yang akan bermula pada Selasa, dengan Sabah berdepan pasukan tuan rumah, Arema FC, untuk aksi pembukaan mereka. 

Sabah dan Arema FC akan bersaing dalam Kumpulan B dalam kejohanan itu bersama dua pasukan lain, iaitu Persela Lamongan dan Persija Jakarta.

Tuan rumah, Madura United, akan bersaing dengan tiga pasukan lain dalam Kumpulan A, iaitu Persebaya Surabaya, Persik Kediri dan Bhayangkara FC.

"Seperti yang dikatakan presiden SAFA (Persatuan Bola Sepak Sabah), Datuk Peter Anthony sebelum ini, pasukan tidak meletakkan apa-apa sasaran dalam kejohanan itu. 

"Apa yang penting ialah membentuk keserasian pemain dan kita juga perlu mengelak daripada mendapat masalah kecederaan kerana saingan Liga Super akan berlangsung dalam tempoh kurang sebulan lagi," katanya.




Editor: Ammar Hakim

Advertisement

Must Watch Video