Skip to main content

Advertisement

Bola Sepak

Tambadau sudah selangkah ke Liga Super

img_1049.jpg
Selepas kemenangan bergaya 4-1 ke atas Sarawak dalam aksi Liga Perdana di Stadium Likas, malam tadi, Sabah kini hanya satu mata dipisahkan daripada slot ke Liga Super, musim depan.

Skuad Tambadau itu kini mengumpul 34 mata daripada 16 perlawanan dan mengekalkan kedudukan di tangga teratas liga.

Dengan jumlah mata itu juga, hanya Negeri Sembilan (NS) yang mampu menyamainya, namun perlu memenangi kesemua baki empat perlawanan mereka.

Bagaimanapun, jika NS benar-benar melakukannya (menang kesemua baki perlawanan), mereka mungkin masih boleh menaruh harapan dengan syarat UiTM FC yang kini berada di kedudukan ketiga liga tercicir mata dalam tiga baki perlawanan mereka.

Dua lagi pasukan, iaitu Johor Darul Ta'zim II (JDT II) yang kini berada di tangga kedua serta Terengganu FC II (TFC II) di tangga keempat, sudah pasti tidak akan dapat beraksi dalam Liga Super walau di mana pun kedudukan mereka kerana status mereka sebagai pasukan sokongan atau 'feeder team'.

Hanya dua pasukan terbaik Liga Perdana kecuali JDT II dan TFC II akan layak ke Liga Super musim depan dan jika dilihat kepada kedudukan serta mata yang dikumpul setakat ini, tinggal tiga pasukan lagi yang berpeluang, iaitu UiTM FC dan NS manakala Sabah boleh dikatakan sudah selangkah bakal beraksi dalam liga utama itu.

Lain-lain pasukan pula sudah tidak mampu untuk mencapai sehingga 34 mata seperti mana dikutip Sabah ketika ini.

Walaupun dijangka tidak berdepan masalah untuk mencari satu lagi mata bagi mengesahkan slot ke Liga Super, Sabah pastinya tidak mahu mensia-siakan peluang menjulang trofi Liga Perdana kerana mereka kini berada di landasan terbaik ke arah itu.

Laluan skuad kendalian Jelius Ating itu, bagaimanapun, bukan semudah yang dijangka kerana mereka masih perlu berdepan dua lagi calon juara, iaitu JDT II dan UiTM FC, di gelanggang lawan.

Selain itu, Tambadau juga perlu berdepan TFC II di gelanggang lawan dalam aksi terakhir mereka dan jika dikira jumlah mata yang dikumpul TFC II ketika ini, mereka masih boleh mengintai peluang untuk muncul juara walau mungkin sedikit sukar.

Pemangku presiden Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA), Datuk Peter Anthony, ketika dihubungi berkata mereka perlu terus fokus untuk menghabiskan baki empat perlawanan dengan keputusan yang baik.

"Kami akan bersedia untuk baki empat perlawanan itu tetapi akan fikirkannya satu persatu," katanya.

Advertisement

Must Watch Video