Skip to main content

Bola Sepak

Tambadau semakin bersemangat buru kejuaraan

pengurusan-sabah.jpg
Selepas menamatkan penantian selama tujuh tahun untuk naik semula ke Liga Super, Sabah kini semakin bersemangat untuk menamatkan pula kemarau tanpa trofi selama 23 tahun musim ini. 

Sabah hanya dipisahkan satu kemenangan daripada gelaran juara Liga Perdana musim ini, dengan skuad kendalian Jelius Ating itu masih memiliki baki tiga perlawanan, termasuk satu aksi di gelanggang sendiri.

Pemangku Presiden Persatuan Bolasepak Sabah (SAFA), Datuk Peter Anthony, berkata meraih kejuaraan liga bukanlah sesuatu yang mustahil jika pasukan itu dapat mengekalkan prestasi baiknya ketika ini. 

"Beban tekanan mengeluarkan pasukan Sabah daripada kepompong Liga Perdana selama tujuh tahun telah kami lenyapkan dengan kejayaan layak ke Liga Super musim depan, iaitu sasaran utama kami musim ini. 

"Kejayaan ini adalah pembakar semangat dan tonik yang diperlukan untuk memburu gelaran juara Liga Perdana pula.

"Saya amat yakin ini juga bukan mustahil kerana kami hanya perlukan tambahan tiga mata untuk mendakapnya dan mempunyai tiga peluang menerusi tiga baki tiga perlawanan yang ada," katanya ketika dihubungi hari ini. 

Kemenangan 1-0 ke atas Johor Darul Ta'zim II (JDT II) di Stadium Pasir Gudang, malam tadi, mengukuhkan kedudukan Tambadau di tangga teratas dengan 37 mata. 

Hanya JDT II yang masih memiliki peluang untuk mencabar kedudukan Sabah ketika ini, namun mereka perlu memenangi dua baki perlawanan mereka selain mengharapkan Sabah tercicir mata.

Sementara itu, UiTM FC secara matematik masih mampu mencabar kedudukan Sabah, namun mata terbanyak boleh dikumpul mereka ialah 37, iaitu mata yang sama telah dikumpul Sabah ketika ini dan ini bermaksud mereka memerlukan keajaiban untuk muncul juara. 

"Dengan prestasi pemain yang berada di tahap terbaik ketika ini, saya yakin dan harap kami akan dinobatkan sebagai juara lebih awal," kata Peter lagi. 

Sabah akan meneruskan cabaran menentang UiTM FC di Stadium UiTM Shah Alam, Selasa depan, sebelum kembali beraksi di gelanggang sendiri menentang Kelantan, Sabtu depan, sebelum menutup tirai saingan liga musim ini menentang Terengganu FC II (TFC II) di tempat lawan pada tarikh yang akan ditentukan kemudian. 

Advertisement

Must Watch Video