Skip to main content

Bola Sepak

Tambadau hadapi UiTM tanpa empat tonggak

img-20190302-wa0021.jpg
Sabah menghadapi cabaran sukar apabila turun menentang UiTM dalam aksi Liga Perdana di Stadium Likas, Kota Kinabalu, malam esok, tanpa beberapa tonggak utamanya. 

"Kami akan kehilangan khidmat ketua pasukan, Rawilson (Batuil), dan Azzizan (Nordin) kerana menjalani penggantungan perlawanan selepas mereka mengumpul jumlah tiga kad kuning sebelum ini. 

"Selain itu, Maxsius (Musa) juga mungkin terpaksa diketepikan akibat kecederaan selain Sabri (Sahar) yang kita sedia maklum mengalami kecederaan teruk dan mungkin terlepas aksi sehingga habis musim.

"Pengganti Sabri sebelum ini, Ricco (Nigel Milus) juga belum pasti dapat diturunkan kerana turut cedera, " kata ketua jurulatih, Jelius Ating, ketika dihubungi hari ini. 

Beliau berkata beberapa perubahan terpaksa dilakukan terhadap kesebelasan utamanya dan berharap pemain yang dipertanggungjawabkan untuk beraksi esok akan mampu memperagakan aksi baik.  

"Ini juga sebenarnya peluang bagi pemain-pemain lain untuk membuktikan yang mereka juga layak beraksi sebagai kesebelasan utama dan saya harap mereka akan beraksi baik esok," katanya. 

Jelius dijangka mengekalkan Rozaimie Rohim sebagai benteng terakhir skuad Tambadau dengan dibantu Maffry Balang yang menggantikan tempat Rawilson, Park Taesu, Randy Baruh serta Dendy Lowa di bahagian pertahanan. 

Luka Milunovic pula dijangka terus mengemudi bahagian tengah dengan dibantu tiga pemain yang menggantikan tempat Azzizan, Maxsius, serta Ricco, iaitu Jenius Karib, Alto Linus dan Muhammad Mohd Safar manakala dua penyerang import, iaitu Luis Carlos Junior dan Rodoljub Paunovic kekal sebagai pemburu jaringan buat Sabah. 

Dalam pada itu, pengurus skuad Tambadau, Henry Soimpon, ketika dihubungi berharap penyokong pasukan itu akan hadir beramai-ramai ke Stadium Likas bagi menyemarakkan lagi semangat pemain. 

"Esok kita berdepan dengan situasi menang atau dipintas lawan. Sebab itu, ia adalah perlawanan yang perlu kita menang, terutama bermain di gelanggang sendiri, dan sudah pasti ia memberi kelebihan besar jika dipenuhi penyokong," katanya. 
 

Advertisement

Must Watch Video