Skip to main content

Advertisement

Bola Sepak

Tambadau buru penyerang import baru

import-sabah.jpg
Sabah kini bukan saja mencari pengganti kepada Luka Milunovic, yang kembali ke pasukan Melaka, malah turut memburu seorang lagi penyerang import selepas membuat keputusan untuk melepaskan Luis Carlos Junior.

Difahamkan, Persatuan Bolasepak Sabah (SAFA) telah mencapai kata sepakat dengan Junior berhubung pelepasan pemain itu selepas penyerang dari Brazil berkenaan dipercayai tidak berada dalam perancangan bagi menghadapi baki saingan Liga Perdana.

Pengurus Sabah, Henry Soimpon, berkata usaha sedang dilakukan bagi mengisi dua kekosongan kuota import berkenaan dan berharap ia dapat diselesaikan sebelum perlawanan yang akan datang.

Skuad Tambadau itu kini hanya memiliki dua pemain import, iaitu pertahanan dari Korea Selatan, Park Tae Su, dan penyerang dari Serbia, Rodoljub Paunovic.

Sabah sedang menguji dua calon import, iaitu bekas penyerang kebangsaan Angola, Aguinaldo Mendes Veiga, serta pemain tengah dari Turkmenistan, Ahmet Atayew.

"Kalau ia menepati keperluan pasukan, kami akan usahakan agar mereka dapat disenaraikan dalam perlawanan akan datang.

"Saingan yang kini memasuki pusingan kedua semakin mencabar, jadi kami perlu memantapkan lagi pasukan dengan memanfaatkan jendela perpindahan yang masih terbuka," katanya di Kota Kinabalu, hari ini.

Dalam pada itu, Henry turut mengucapkan terima kasih dan selamat maju jaya kepada Junior di atas sumbangannya kepada skuad Tambadau itu sebelum ini.

Advertisement

Must Watch Video