Skip to main content

Bola Sepak

Takuto Okabe adili final Piala FA 2019

pengadil.jpg
Perlawanan akhir Piala FA di antara Perak dan Kedah,  , Sabtu ini, akan menyaksikan penampilan kali pertama pengadil luar dari Jepun, Takuto Okabe. 

Pengadil berusia 38 tahun itu akan dibantu oleh dua penolong pengadil, yang juga rakan senegaranya, Akane Yagi dan Osamu Nomura.

Pengadil tempatan, Razlan Joffri Ali, diletakkan sebagai pengadil keempat atau pengadil simpanan bagi perlawanan berkenaan. 

Aksi final membabitkan dua gergasi utara itu akan berlangsung di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada jam 9.00 malam. 

Penglibatan pengadil luar negara adalah alternatif pertama Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan badan pengendali liga tempatan, Liga Bola Sepak Malaysia (MFL), dalam menangani isu mutu pengadilan yang sering tercetus dalam saingan liga domestik.

Okabe adalah pengadil utama saingan Liga J1 yang telah menjadi pengadil Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) sejak tahun 2015.

Beliau, yang pernah mengadili perlawanan Liga Juara-Juara AFC dan Piala AFC dari 2016 hingga 2019, turut berpengalaman mengendalikan perlawanan Sukan Universiti Dunia (Universiade) 2015 di Korea Selatan, Universiade 2017 di Taiwan dan Sukan Asia 2018 di Indonesia.

Penolong Okabe, Yagi pula mula menjadi penolong pengadil FIFA sejak 2009 dan berpengalaman bertugas dalam Piala Asia 2015 di Australia, Piala Dunia B-20 edisi 2015 di New Zealand dan Kejohanan AFC B-23 2018 di China, selain perlawanan Liga Juara-Juara AFC dan Piala AFC dari 2015 hingga 2019.

Nomura pula baharu saja diiktiraf sebagai penolong pengadil FIFA tahun ini dan telah diberikan tugas dalam perlawanan Liga Juara-Juara AFC musim ini.

Sebagai rekod, pengadil tempatan, J. Suresh, yang mengendalikan final Piala Malaysia 2018 di antara Terengganu FC (TFC) dan Perak, dianggap ramai peminat bola sepak tanah air sebagai pengadil terburuk dalam sejarah pengadilan trofi berprestij itu.

Beberapa keputusan kontroversi dibuat Suresh, termasuk membatalkan dua jaringan dan layangan dua kad merah dalam perlawanan itu menyaksikan integriti beliau dipersoal.

Sementara itu, Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam, berkata ketiga-tiga pengadil itu dijangka tiba di Kuala Lumpur lewat petang ini.

Mereka akan hadir pada hari terakhir Kursus Kepengadilan MA FIFA serta Seminar Pengadil Piala Malaysia 2019 dan Piala Cabaran 2019 di Shah Alam, esok. 

"Selamat maju jaya buat ketiga-tiga pegawai perlawanan dari Jepun ini dan semoga final Piala FA 2019 pada Sabtu ini berlangsung dengan lancar," katanya.

-- BERNAMA

Advertisement

Must Watch Video