Bruno Fernandes akur bahawa dia telah meletakkan Manchester United dalam situasi sukar selepas dibuang padang dalam kekalahan 0-3 kepada Tottenham, awal pagi tadi, sambil menegaskan ia tidak sepatutnya kad merah.

Brennan Johnson, Dejan Kulusevski dan Dominic Solanke menemui sentuhan penyudah ketika pasukan pelawat melakar kemenangan di Old Trafford itu.

Dan derita tuan rumah bertambah parah apabila Fernandes dibuang padang pada minit ke-42 atas terjahannya ke atas James Maddison.

Ia adalah kali pertama Fernandes dilayangkan kad merah dalam 242 penampilan, manakala dia menjadi kapten Red Devils keempat yang menerima nasib itu dalam sebarang perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL).

Selepas perlawanan, Fernandes menjelaskan mengapa dia tidak fikir terjahan itu layak menerima hukuman keras oleh pengadil, Chris Kavanagh.

“Saya tergelincir dan tidak pernah menggunakan tapak kaki, buku lali saya telah berlaga dengannya,” kata pemain dari Portugal itu kepada Sky Sports.




"Ia jelas satu kesalahan tetapi tidak sepatutnya kad merah. Malah, sebaik Maddison bangkit, dia berkata ia adalah satu kekasaran tetapi bukanlah sampai tahap kad merah. Di kaca mata semua orang, anda boleh melihat ia tidak sepatutnya kad merah.

“Jika ini adalah kad merah maka kita perlu melihat setiap insiden. Saya tidak pernah melihat keputusan kad merah dibuat begitu cepat.

"Jika dia mahu memberikan saya kuning kerana ia adalah satu serangan balas, saya bersetuju tetapi saya tidak faham mengapa VAR (video bantuan pengandil) tidak digunakan, ia adalah satu keputusan yang buruk."