Skip to main content

Bola Sepak

Tadic jangka Ten Hag kekal

erik-ten-hag.jpg
Dusan Tadic memuji peranan penting yang dimainkan pengurus Ajax, Erik ten Hag, yang merancang untuk menghabiskan kontraknya walaupun dikhabarkan menarik minat juara LaLiga, Barcelona.

Ten Hag mengharungi kempen yang sukar dilupakan gergasi Belanda itu setelah mengemudi mereka ke separuh akhir Liga Juara-Juara (UCL). 

Ajax -- yang memenangi gelaran liga pertama dalam tempoh lima tahun -- melakar kejutan ke atas Real Madrid dan Juventus sebelum menempa kekalahan menyayat hati kepada Tottenham berikutan kebangkitan luar biasa Spurs di Amsterdam, awal bulan ini.

Sentuhan Ten Hag, 49, di Ajax mengundang perhatian dan dia dilaporkan menjadi calon utama untuk menggantikan Ernesto Valverde sekiranya Barca memutuskan untuk membuat perubahan.

Bekas pengurus Bayern Munich II dan Utrecht itu -- membimbing Ajax untuk melakar trofi pertama mereka sejak 2014 dengan menjulang Piala KNVB -- dan ketika ditanya tentang masa depannya, dia memberitahu pemberita: "Saya masih mempunyai kontrak di sini dan saya mahu menikmatinya. Kami sedang mengusahakan sesuatu untuk masa akan datang, jadi saya tidak mahu memikirkan soal itu lagi buat masa ini."

Prestasi Tadic semakin berkembang sejak dia tiba daripada kelab Liga Perdana Inggeris (EPL), Southampton, pada permulaan musim ini apabila menyumbat 36 gol, justeru bintang Serbia itu pantas memuji Ten Hag.

"Dia sangat penting, dia melakukan tugasan yang hebat dan setiap hari, dia mahu memperbaiki prestasi kami. Dia mahu membantu kami," kata Tadic kepada Omnisport.

"Pujian juga harus diberikan kepada kakitangan perubatan, mereka memastikan kami terus cergas. 

"Begitu juga dengan barisan kejurulatihan. Mereka melakukan tugas yang luar biasa buat kami kerana mereka mahu menjadikan kami pemain yang lebih baik.

"Apa yang paling penting tentang Erik, saya fikir adalah ketaksubannya dan setiap hari dia mahu memperbaiki prestasi kami. Dia begitu mencintai bola sepak dan situasi ini sangat bagus kepada pemain bagi memastikan kemampuan mereka terus meningkat."

Tadic menambah: "Ia adalah musim yang hebat dalam UCL, buat saya sendiri dan juga pasukan. 

"Ini adalah asas paling penting kerana kami melakukan segala-galanya sebagai sebuah pasukan. Semua pihak membuktikan mereka bersedia menggalas peranan lebih besar dan saya berasakan Ajax adalah tumpuan utama UCL musim ini dan semua orang bercakap tentang kami."

Advertisement

Must Watch Video