Skip to main content

Bola Sepak

Sylvinho dipecat Lyon selepas hanya menang satu perlawanan

sylvinho.jpg
Lyon mengumumkan pemecatan pengurusnya, Sylvinho, selepas pasukan itu hanya mencatatkan satu kemenangan daripada sembilan perlawanan terakhir dalam kesemua kejohanan musim ini.

Musim pertama pengurus dari Brazil itu bermula dengan cemerlang apabila meraih kemenangan 3-0 dan 6-0, masing-masing ke atas Monaco dan Angers dalam Ligue 1.

Bagaimanapun, Lyon selepas itu gagal memenangi sebarang perlawanan liga dengan satu-satunya kemenangan yang dilakar ialah ketika menundukkan RB Leipzig 2-0 dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah di Jerman, Khamis lalu.

Sylvinho terpaksa menerima padah susulan kegagalan itu walaupun hanya mengemudi pasukan berkenaan sejak Mei lalu.

Lyon turut mengesahkan pembantu jurulatih, Gerald Baticle, akan mengambil alih tugas itu buat sementara waktu selepas pasukannya tewas 0-1 kepada seteru utama, Saint-Etienne, kelmarin. 

Pengarah Sukan Lyon, Juninho Pernambucano, yang masa depannya bersama pasukan itu turut terancam sejak beberapa minggu lalu, akan dikekalkan.

Presiden kelab, Jean-Michel Aulas, seperti yang dipetik oleh L'Equipe awal pagi tadi, berkata: "Kami tidak biasa dengan situasi ini. Juninho perlu berfikir. Kami tidak berada di posisi seperti yang dimahukan, itu sudah pasti."

Lyon akan melayani kunjungan Dijon selepas waktu rehat antarabangsa, 19 Oktober ini.

Advertisement

Must Watch Video