Skip to main content

Bola Sepak

Sumpahan juara dunia berterusan

joachimlow.jpg
Jerman menjadi negara terbaru yang terkena tempias sumpahan juara Piala Dunia selepas tersingkir daripada peringkat kumpulan di Russia, semalam.

Skuad kendalian Joachim Low itu cemerlang di Brazil empat tahun lalu selepas mengecewakan tuan rumah 7-1 dalam separuh akhir, sebelum menewaskan Argentina 1-0 untuk ditabal sebagai juara di Rio.

Juara bertahan itu tenang memasuki kempen kali ini dengan memenangi kesemua perlawanan kelayakan, menjaringkan 43 gol dan bolos hanya empat.

Bagaimanapun, Jerman tersungkur dalam aksi kumpulan berdepan Mexico dan Korea Selatan, sekali gus menghuni tangga tercorot Kumpulan F.

Mereka bukan satu-satunya juara yang diaibkan tetapi terdapat tiga juara yang mengalami nasib yang sama.

AU REVOIR PERANCIS

Selepas mengecapi kejayaan Piala Dunia pertama di laman sendiri pada 1998, Perancis gagal mengulangi kejayaan yang sama di Korea Selatan dan Jepun empat tahun kemudian.

Tewas dalam perlawanan pembukaan kepada Senegal, diikuti seri 0-0 dengan Uruguay sebelum tewas 2-0 kepada Denmark untuk menghantar mereka pulang. 

CIAO ITALI

Brazil terlepas sumpahan pada 2006 tetapi ia sekali lagi hadir di Afrika Selatan selepas gagal mencapai tahap yang sama pada empat tahun sebelumnya.

Skuad Azzurri itu diundi dalam kumpulan yang dianggap mudah bersama Paraguay, Slovakia dan New Zealand tetapi mereka hanya meraih dua mata daripada tiga perlawanan.

ADIOS SEPANYOL

Permainan tiki-taka Sepanyol merupakan sesuatu yang menakjubkan pada 2010 tetapi dunia telah mula bijak menanganinya dan La Roja gagal mendominasi seperti apa yang dilakukan oleh Brazil.

Tewas 5-1 kepada Belanda dalam aksi pembukaan, sebelum Chile meraih tiga mata ke atas mereka. Kemenangan 3-0 ke atas Australia mendapatkan semula maruh mereka tetapi ia sudah terlambat. 

AUF WIEDERSEHEN JERMAN

Begitu juga buat Jerman, dilihat sebagai juara dunia yang dijangka mempertahankan gelaran tetapi tersingkir daripada pusingan pertama buat pertama kali sejak 1938. Sudah pasti mereka tidak mahu melalui perkara yang sama seperti juara dunia sebelum ini ketika beraksi di Russia, bukan?

Kalah kepada Mexico dalam perlawan pertama tetapi bangkit dalam aksi kedua apabila Toni Kroos meledak gol kemenangan ke atas Sweden menghidupkan peluang mereka.

Kemenangan ke atas Korea Selatan akan memberikan peluang untuk mempertahankan gelaran tetapi Jerman gagal mencipta jaringan dan dua serangan balas lawan dalam masa kecederaan menyaksikan mereka tewas 2-0.
 

Advertisement

Must Watch Video