Skip to main content

Bola Sepak

Sukma: Perak miliki kelebihan tapi Sabah mahu cipta kejutan

sukma-sabah.jpg
Pengurus skuad bola sepak Sukan Malaysia (Sukma) Sabah, Benedict Asmat, mengakui Perak memiliki kelebihan dalam aksi separuh akhir di Stadium Majlis Daerah Manjung, petang esok.

Bagaimanapun, beliau berkata skuad kendalian Johnny Dominicus itu tetap bertekad untuk mencipta kejutan terhadap pasukan muda The Bos Gaurus yang dijangka bakal beraksi di hadapan ribuan penyokong mereka.

"Kita tahu Perak sebuah pasukan yang bagus, namun saya percaya jika para pemain menunjukkan semangat juang tinggi seperti mana ketika menewaskan Pahang dalam suku akhir semalam, kami mampu mengatasi mereka.

"Saya juga berharap para pemain mampu menyerap tekanan yang diberikan Perak, termasuk sorakan penyokong mereka dan saya mahu mereka terus fokus dengan sasaran utama, iaitu memenangi ibu segala pingat dalam temasya ini," katanya ketika ditemui.

Benedict berkata beberapa pemainnya mengalami kecederaan selepas aksi bertemu Pahang, namun ia tidak serius dan yakin mereka akan cergas sepenuhnya menjelang aksi separuh akhir esok.

"Kami telah bersiap sedia sepenuhnya untuk berdepan Perak, mudah-mudahan keputusan berpihak kepada kami," katanya.

Advertisement

Must Watch Video