Menjelang Sukan Malaysia (Sukma) yang akan berlangsung di Sarawak, Ogos ini, skuad bola sepak Wilayah Perseketuan masih menunggu status khidmat penyerang kebangsaan, Haqimi Azim Rosli, untuk menyertai pasukan tersebut.

Jurulatih pasukan, Nidzam Adzha Yusoff, berharap agar pihak Kuala Lumpur City memberikan pelepasan buat pemain muda itu kerana keperluan Haqimi sebagai ketua pasukan dan penyerang utama.

Sebelum ini, Haqimi merupakan pemain yang sudah menjalani latihan bersama skuad Sukma MSWP awal tahun ini demi menjaga mutu kecergasan selain KL City ketika itu masih belum memulakan persiapan Liga Super 2024.

"Kami sudah mendaftar Haqimi sejak daripada awal dan kami sedang membuat permohonan dengan KL City sambil berharap kelab Liga Super itu bertimbang rasa kerana pemain MSWP ini merupakan rakan-rakannya ketika bermain di Piala Belia 2022 dan Piala Presiden 2023," katanya.

Sekiranya impian itu tidak berlaku, pemain KL City Extention, Abdul Afiq Hilman, dipertaruhkan sebagai pelan kedua yang akan menggantikan Haqimi.

"Saya mengakui bahawa kehadiran dia akan membantu pasukan sambil keseluruhan pemain sudah bersiap sedia dan boleh menjadi kelebihan buat kami sekiranya Haqimi menyertai pasukan ini," kata Afiq.