Skip to main content

Bola Sepak

Sukan SEA: Aksi bertemu skuad wanita Nepal penting

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

asyraaf-160517.jpg
Pengendali skuad bola sepak wanita negara, Mohd Asyraaf Fong Abdullah, menganggap pertemuan dengan Nepal dalam dua aksi persahabatan di Kota Kinabalu, minggu depan, sebagai penting bagi persiapan mereka menghadapi Sukan SEA Kuala Lumpur, 19 hingga 30 Ogos depan. 

Katanya, bertemu dengan sebuah pasukan yang kuat seperti Nepal adalah satu sesi pemanas badan yang baik buat pasukannya kerana mereka bakal berdepan skuad lebih mantap di Kuala Lumpur nanti.

"Nepal sebuah pasukan yang mempunyai corak permainan pantas serta corak permainan berpasukan yang baik, mereka juga adalah naib juara kejohanan Persekutuan Bola Sepak Asia Selatan (SAFF), tahun ini.

"Memang saya berharap dapat bertemu dengan pasukan seperti Nepal kerana kita bakal berdepan dengan pasukan yang kuat iaitu Thailand, Vietnam, Myanmar dan Filipina dalam Sukan SEA nanti," katanya sambil menambah empat pasukan berkenaan juga dianggap kuat kerana telah layak ke pusingan akhir Piala Asia.

Asyraaf berkata walaupun skuad kendaliannya itu baru berkumpul sejak 3 Mei lalu, dia tetap positif mereka mampu membuat persiapan yang baik seterusnya membentuk sebuah pasukan yang lebih mantap.

"Saya akan cuba menerapkan formasi baharu berdasarkan keupayaan pemain yang ada dan sebelum ini, kami juga telah mengadakan perlawanan persahabatan dengan dua pasukan lelaki, iaitu kelab Unida FC dan Tunas Bola Sepak Sabah B-16.

"Dua perlawanan itu telah menunjukkan petanda positif kerana pasukan mampu menyesuaikan diri dengan formasi baharu dan berani mengawal bola walaupun dalam keadaan tertekan... karakter ini amat diperlukan untuk menghadapi Nepal nanti," katanya.

Tambahnya, dia akan cuba menerapkan formasi 3-4-3 bersama dengan sistem sedia ada bagi membolehkan mereka mempelbagaikan permainan serta membiasakan pemain dengan pelbagai formasi efektif.

Dalam aksi persahabatan kelas A itu, skuad negara akan turun menentang Nepal pada 22 Mei di Stadium Likas bermula jam 8.15 malam sebelum sekali lagi bertemu pasukan sama di Stadium Universiti Malaysia Sabah (UMS), 24 Mei bermula jam 3.45 petang.

Advertisement

Must Watch Video