Skip to main content

Bola Sepak

Sukan Asia: Pintu sentiasa terbuka buat Davies, Azam

kimswee.jpg
"Saya tak pernah tutup pintu," demikian reaksi jurulatih skuad bawah 23 tahun negara, Datuk Ong Kim Swee, yang masih mengharapkan keajaiban untuk kemunculan dua pemain Pahang, Matthew Davies dan Mohd Nor Azam Azih, bagi mempekuatkan pasukannya dalam Sukan Asia Indonesia dari 18 Ogos hingga 2 September ini.

Merujuk kepada laman Facebook Johor Southern Tigers yang memuat naik gambar bekas Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Tunku Ismail Sultan Ibrahim, dan Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Pahang, Tengku Rahman Sultan Ahmad Shah, ia umpama petanda positif bakal berlaku.

Namun, sesi latihan pertama sebaik skuad B-23 pulang dari China tidak berlangsung seperti yang diharapkan apabila kelibat Davies mahupun Azam masih menjadi tanda tanya.

Kim Swee yang ditemui menegaskan tiada istilah tutup buku untuk kedua-dua pemain itu tetapi dengan masa yang terlalu suntuk, dia tahu siapa yang perlu diberikan keutamaan.

"Saya selalu berkata pintu sentiasa terbuka. Ini terpulang kepada mereka tetapi masa agak suntuk.

"Saya perlu mendapat pasukan yang baik, sama ada dengan mereka atau tanpa mereka," kata Kim Swee.

Melayan kunjungan skuad B-23 Emiriah Arab Bersatu (UAE) dalam aksi persahabatan terakhir pada Jumaat ini sebelum berlepas ke Indonesia, ibarat sesi pembetulan pasukan yang perlu diselesaikan segera oleh Kim Swee.

"Nampak sedikit kelemahan di bahagian pertahanan dan tengah. Kita tahu di bahagian serangan, kita ada beberapa pemain yang mampu mengisi slot. Sebaliknya, di bahagian tengah, kami hanya ada beberapa pilihan," katanya lagi.

Skuad bola sepak negara bakal memulakan kempen Sukan Asia dengan menentang Kyrgyzstan pada 15 Ogos, diikuti perlawanan getir berdepan Korea Selatan yang juga penyandang juara pada 17 Ogos.

Advertisement

Must Watch Video