BOLA SEPAK
Sukan Asia: Hadi Fayyadh kembali dalam perancangan Kim Swee
Penyerang negara, Muhammad Hadi Fayyadh Abdul Razak, kembali dalam perancangan jurulatih skuad bawah 23 tahun negara, Datuk Ong Kim Swee, sebaik pemain muda itu pulang dari Jepun, Sabtu ini.
Hadi akan kembali bersaing memenuhi tuntutan 20 pemain utama yang akan dibawa Kim Swee ke Sukan Asia nanti.
Pada awalnya, pemain itu terpaksa melupakan penyertaan sulungnya dalam temasya itu ekoran membuat percubaan dengan sebuah kelab di Jepun, Roasso Kumamoto, melangkaui tarikh aksi Kumpulan E.
Iklan
Namun, perubahan jadual memberi harapan baru buat Hadi, apatah lagi Kim Swee masih mengharapkan keberkesanan pemain tinggi lampai itu di jentera depan pasukan.
"Apabila Hadi pulang nanti, kita akan tengok keadaannya. Jika saya memerlukannya, saya mungkin akan memanggilnya untuk bersama pasukan dan ia bergantung kepada pasukan sedia ada," kata Kim Swee.
Hadi mempamerkan aksi positif bersama Roasso Kumamoto apabila menyumbang dua jaringan ketika pasukannya melakar kemenangan 5-2 ke atas Shzuoka Gakuen, hari ini.
Perkembangan lain dalam skuad bawah 23 tahun negara menyaksikan pemain tengah negara N. Thanabalan, terpaksa digugurkan daripada skuad ekoran kecederaan yang menuntut proses pemulihan yang panjang.
"Ia satu kerugian untuk saya kerana tidak dapat bermain dalam Sukan Asia. Saya tidak pernah bermain dalam temasya itu. Tetapi, mungkin ada banyak peluang bermain pada masa-masa akan datang," katanya.
Selain Thanabalan, seorang lagi pemain, iatu Muhammad Daniel Amier Norhisham, juga berhadapan dengan masalah kecederaan tetapi masih mampu menjalani latihan bersama pasukan.
Must-Watch Video