Skip to main content

Bola Sepak

Suasana dalam pasukan kunci kekuatan Tambadau -- Peter

img-20190704-wa0011.jpg
Keadaan pasukan yang kini berada di tahap terbaik selain semangat pemain yang semakin membara bakal menjadi kunci kekuatan Sabah apabila berkunjung ke Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang untuk bertemu Johor Darul Ta'zim II (JDT II), malam esok. 

Aksi di antara dua pasukan teratas Liga Perdana itu pastinya menjadi tumpuan apabila kedua-duanya memburu mata penuh bagi merebut kejuaraan liga divisyen dua negara itu, musim ini. 

Pemangku Presiden Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA), Datuk Peter Anthony, bagaimanapun yakin skuad Tambadau mampu mengejutkan JDT II walaupun sedar ia bukanlah tugas mudah. 

"Walaupun beraksi di gelangang lawan dan masih ada beberapa pemain utama tidak dapat disenaraikan kerana kecederaaan, saya percaya pasukan kami mampu membuat kejutan untuk mempertahankan kedudukan selaku pendahulu liga.

"Suasana dalam pasukan amat baik dan semuanya begitu bersemangat. Saya percaya ini petanda baik dan saya yakin barisan jurulatih juga sudah ada perancangan rapi untuk memburu kemenangan yang sangat diperlukan," katanya ketika dihubungi di Kota Kinabalu, hari ini. 

Dua pemain tengah, Mohd Azizan Nordin dan Sabri Sahar adalah antara pemain utama yang tidak dapat disenaraikan kerana kecederaan.

"Satu mata akan mengesahkan tempat ke Liga Super tetapi kalau menang, bukan saja dapat tempat ke Liga Super musim depan tetapi akan mengukuhkan kedudukan sebagai calon terbaik memenangi gelaran juara Liga Perdana musim ini.

"Kemenangan juga akan menebus kekalahan 1-2 di tangan lawan sama dalam pusingan pertama di Stadium Likas," katanya.

Sabah dan JDT II kini hanya dijarakkan satu mata dengan Tambadau mendahului selepas mengumpul 34 mata daripada 16 perlawanan manakala JDT II di tangga kedua dengan 33 mata daripada 17 perlawanan.

"Ini adalah perlawanan di antara dua pasukan teratas, iaitu situasi yang jelas membayangkan betapa pentingnya untuk dapatkan mata. Saya mahu pasukan buru mata penuh esok. 

"Saya juga menyeru agar penyokong, khususnya ribuan rakyat Sabah yang berada di Johor, datang memberi sokongan kepada pasukan," katanya.

Advertisement

Must Watch Video