Skip to main content

Bola Sepak

Stuart bimbang status KLFA

stuart.jpg
Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Stuart Ramalingam, mengakui bimbang dengan status Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA) berhubung mesyuarat agung tahunan (AGM) tidak sah yang perlu diadakan semula, dalam tempoh masa paling lewat, penghujung bulan ini.

Rasa bimbang dinyatakan Stuart kerana sejak surat dikeluarkan Pesuruhjaya Sukan (PJS), KLFA nampaknya tidak melakukan pergerakan agresif untuk menyelesaikan kemelut itu.

Tegas Stuart, jika hal itu gagal diselesaikan dalam tempoh yang telah ditetapkan, KLFA akan diberikan amaran dan berhadapan kemungkinan hilang status selaku ahli gabungan FAM serta-merta.

"PJS telah mengeluarkan arahan kepada KLFA untuk melaksanakan kongres sebelum 31 Mei, PJS akan mengambil tindakan dan kami sebagai FAM bimbang dengan situasi ini," kata Stuart.

Hanya ada sekali rundingan KLFA dengan FAM minggu lalu, yang meminta nasihat daripada badan induk itu untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi.

Difahamkan, KLFA mengadakan satu mesyuarat hari ini, namun belum ada sebarang perkembangan daripada pihak KLFA setakat ini.

"Kami berharap KLFA akan bergerak ke hadapan dan perlu melakukan kongres ini secepat mungkin. Jika bantuan diperlukan, FAM sedia menghulurkannya."

Advertisement

Must Watch Video