Skip to main content

Bola Sepak

Strategi perlu jadi rahsia pasukan -- Azlan Johar

arifaiman.jpg
'Strategi perlu menjadi rahsia pasukan, bukan didedahkan kepada umum', itu kata bekas pemain kebangsaan era 80'an, Azlan Johar, yang memberikan pandangan kepada skuad Harimau Malaya untuk dijadikan sebagai pengajaran sebelum menghadapi Piala Asia 2023 dalam tempoh setahun dari sekarang.

Bekas penyerang berusia 59 tahun itu meluahkan keterujaan dengan keberanian dipamerkan ketua jurulatih kebangsaan, Kim Pan-gon selain berjaya membuktikan sesuatu dalam tempoh singkat.

"Berdasarkan persembahan yang dipamerkan pasukan, saya berasakan Pan-gon telah melakukan satu kesilapan apabila mendedahkan strategi dan misi meraih mengutip tujuh mata," kata Azlan.

"Ia secara tidak langsung memberikan maklumat buat Bahrain bahawa Malaysia mahu mengutip satu mata sahaja berdepan mereka.

"Namun ia sudahpun berlalu dan Malaysia kini telah layak secara merit ke Piala Asia. Apa yang menarik perhatian saya adalah perancangan latihan yang betul mampu mendapatkan keputusan yang positif dan Pan-gon telah berjaya mengubah pasukan dalam tempoh yang singkat. Rombakan tujuh pemain daripada kesebelasan utama sementara pemain pertahanan juga turut berkebolehan untuk mendapatkan jaringan.

"Saya ingin mengucapkan syabas buat Pan-gon kerana menyedarkan pemain bahawa mereka perlu pantas bergerak ketika menyerang mahupun bertahan.

"Saya juga mahu mengetengahkan bahawa kualiti hantaran daripada pemain harus diperbaiki sementara sentuhan penyudah juga harus lebih tepat. Ia ditonjolkan oleh pertahanan negara, Dion Cools, berlatih di Eropah, berjaya mendapatkan jaringan kedua negara ketika bertemu Bangladesh, satu sentuhan diperlukan sebelum melepaskan percubaan untuk mendapatkan jaringan."

Advertisement

Must Watch Video