Skip to main content

Bola Sepak

Status bukan jaminan kegemilangan Kedah

kedah2019_1.jpg
Status Kedah sebagai antara nama besar bola sepak Malaysia tidak cukup untuk dijadikan jaminan buat mereka memenuhi aspirasi memenangi Piala FA musim ini.

Itu pandangan ketua jurulatih Kedah, Aidil Sharin Sahak, susulan kemaraan pasukannya ke separuh akhir.

Bagi Aidil, skuad Lang Merah musim ini adalah projek baru meskipun masih memiliki tunjang bintang tempatan seperti perancang utama, Baddrol Bakhtiar, tonggak benteng, Rizal Ghazali, dan penjaga gawang, Ifwat Akmal Che Kassim.

Atas dasar itu, apa sahaja kemahuan yang mahu direalisasikan Kedah perlu bersandarkan kepada kerja keras.

"Usah lupa Kedah merupakan pasukan yang baru dibentuk. 

"Ya, memang benar Kedah sebuah kelab besar tetapi pasukan ini baru dibentuk dalam tempoh lima bulan selain kesemua pemain import kami adalah muka baru. 

"Apapun, Alhamdulillah kami dapat memberi saingan melalui kerjasama dan perpaduan pasukan," katanya. 

Kedah mara ke separuh akhir menerusi keputusan agregat 4-2 ke atas PKNS FC dengan aksi timbal balik suku akhir di Stadium Darulaman, malam tadi berkesudahan 1-1. 

Kedua-dua jaringan dihasilkan dalam separuh masa pertama menerusi sentuhan pemusnah Jonathan Bauman buat tuan rumah sebelum tampanan ke gol sendiri oleh Azmer Yusof.

"PKNS merupakan pasukan yang mantap musim ini dan mereka cukup berdisiplin daripada segi bertahan.

"Kami sudah bersedia untuk merobek gawang mereka dan kami mempunyai kesempatan, cuma kami tidak bernasib baik. 

"Kalau dilihat, kedua-dua pasukan saling mengasak dan ia suatu aksi yang menghiburkan buat penyokong," katanya. 

Advertisement

Must Watch Video