SRI PAHANG 4 KELANTAN 1

Sri Pahang kembali ke Stadium Darulmakmur buat julung kalinya musim ini untuk mencatat kemenangan sulung Liga Super 2023, sebentar tadi
.

Skuad kendalian Fandi Ahmad itu meraih tiga mata pertama berpesta jaringan dalam babak awal dengan menuju ke bilik persalinan berbekalkan empat jaringan.

Kesilapan benteng pelawat yang gagal mengeluarkan bola dari kawasan bahaya dihukum oleh rembatan kaki kiri Kpah Sherman pada minit ke-12.

Selepas permainan berlangsung agak seimbang, ruang di depan kotak penalti dimanfaatkan sepenuhnya Kevin Ingreso yang menyudahkan lariannya dengan rembatan kencang pada minit ke-38.

Kelincahan Baqiuddin Shamsudin terus mencetuskan masalah buat lawan dan lorongannya disudahkan Sergio Aguero untuk melebarkan kedudukan kepada 3-0, lima minit kemudian.





Dan penjaga gol Kelantan, Rozaimi Azwar, menjadi mangsa kelalaian pertahanannya selepas Stefabo Brundo memungut bola muntah itu untuk jaringan keempat skuad Tok Gajah.

Tuan rumah, bagaimanapun, sama sekali mengendurkan tempo permainan yang berlangsung di atas padang becak itu.

Ia secara tidak langsung memberi ruang buat Kelantan melancarkan asakan, namun ledakan Miguel Cifu dalam masa kecederaan sekadar menjadi gol sagu hati.

Sementara itu, Selangor menghangatkan lagi pertemuan dengan Sri Pahang, Ahad ini, apabila membelasah Kuching City FC 5-0 apabila Noor Al-Rawabdeh menyumbangkan dua gol.