Ketua jurulatih Sri Pahang FC, Fandi Ahmad, mengakui pasukannya memanfaatkan sebaik mungkin tempoh rehat hampir dua minggu untuk memperbaiki segala kelemahan pasukan menjelang aksi ke-18 Liga Super berdepan Perak FC, petang esok.

Bagaimanapun, perancangan pengendali kelahiran Singapura itu bagaikan terganggu ekoran kecederaan yang dialami kapten pasukan, Fadhli Shas, serta situasi semasa penyerang utama, Lpah Sherman, yang baru pulih daripada demam.

Fandi, bagaimanapun, percaya pemain yang bakal diturunkan dalam pertemuan itu mampu menggalas tanggungjawab yang diberikan dalam merealisasikan misi Tok Gajah meraih tiga mata di Stadium Darulmakmur.

"Kami bebas daripada penggantungan tapi kecederaan memberi sedikit masalah kepada kami.

"Sherman pula sudah beberapa hari dilanda demam sementara Fadhli Shas dan Zuhair Aizat (Nazri) pasti tersisih.

"Sergio Aguero pula tidak berada di tahap 100 peratus tapi dalam latihan beberapa hari ini dia nampak bagus , jadi bergantung kepada posisi dan pemain yang diperlukan.

"Dengan kehadiran pemain asing seperti Rafael Silva memerlukan kami merombak kesebelasan," katanya di Nadi Weekend sebentar tadi.



Jelasnya lagi, mereka perlu berwaspada dengan Sang Seladang yang hadir ke Kuantan dengan momentum terbaik selepas menewaskan Kuching City 2-1 di tempat lawan.

"Semua pasukan mengambil pemain baru jadi kami perlu bekerja lebih keras," katanya.

Untuk rekod, selepas lapan perlawanan liga di laman sendiri, Tok Gajah hanya tewas sekali kepada KL City, bulan lalu.