Terengganu Turtles dan Sabah Mountaineers meneruskan kemaraan dalam saingan kejohanan selepas masing-masing mencatat kemenangan 2-0 ke atas lawan dalam aksi suku akhir untuk mengesahkan tempat ke separuh akhir.
Terengganu Turtles terlebih dahulu menampilkan aksi meyakinkan apabila menundukkan Sarawak Hunter menerusi kemenangan dua set, 15-7 dan 17-14.
Sebagai pasukan yang beraksi dalam STL Premier musim lalu, Terengganu membuktikan keupayaan mereka untuk terus bersaing dan melangkah lebih jauh untuk mendapatkan slot ke STL Premier.
Bagi Sarawak Hunter, trio Selimin Jebat selaku kapten dan apit kiri, Rizal Salleh sebagai tekong serta Hariz Hakimi di posisi apit kanan gagal menghalang kemaraan Terengganu walaupun hampir berjaya memenangi set kedua,sekali gus menyaksikan perjuangan mereka berakhir di peringkat suku akhir.
Dalam satu lagi aksi, Sabah Mountaineers turut mengesahkan kemaraan ke separuh akhir selepas menewaskan Putrajaya Cyborg 2-0 menerusi keputusan 15-9 dan 15-10.
Kemenangan itu memperlihatkan keupayaan Sabah mengawal rentak permainan untuk menamatkan cabaran lawan dalam dua set.
Sabah berjaya membantu pasukan mencatat kemenangan penting bagi meneruskan cabaran dalam kejohanan.
Kini, Terengganu Turtles dan Sabah Mountaineers boleh memberikan tumpuan kepada persiapan separuh akhir dalam misi memburu tempat ke pentas final.