Pengurus Sri Pahang FC, Datuk Dollah Salleh, menyifatkan skuad Tok Gajah itu sedang berada dalam momentum terbaik di bawah bimbingan ketua jurulatih, Fandi Ahmad, menjelang sepak mula Liga Super 2023 hujung bulan ini.

Tanpa mendedahkan keputusan yang diperoleh dalam aksi pramusim baru-baru ini, bekas pengendali skuad kebangsaan itu percaya pengalaman yang dimiliki Fandi mampu menjadikan Sri Pahang sebuah pasukan yang lebih berdaya saing musim ini.

"Saya dapat lihat jurulatih Fandi mempunyai banyak pengalaman yang telah diterapkan dalam latihan dan banyak perubahan telah dilakukannya," katanya kepada wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam.

"Dengan pengalaman dan corak latihannya dalam Sri Pahang, saya dapat lihat selama 10 hari kami di Bangkok, banyak perubahan telah berlaku.

"Saya percaya pasukan Sri Pahang akan memberikan saingan yang sengit buat kesemua pasukan dalam Liga Super musim ini," katanya.

Sri Pahang mengharungi tiga perlawanan ujian menentang kelab handalan Korea Selatan di Bangkok baru-baru ini.

Ia kelihatan akan menjadi eksperimen terbaik buat Fandi setelah memperkuatkan pasukannya dengan kedatangan beberapa pemain baru, antaranya Kpah Sherman, Fadhli Shas, Izham Tazmizi Roslan dan Azrif Nasrulhaq Badrul Hisham.