Skip to main content

Bola Sepak

Spurs ikrar terus beri tekanan terhadap Chelsea

tottenham-cropped_n02kf1kikr7aznqc8rc1pv8w.jpg
Segar daripada kemenangan 2-0 ke atas Arsenal dalam pertembungan 'derby' di White Hart Lane, Jan Vertonghen dan Harry Kane berharap Tottenham mampu membuat Chelsea berasakan tekanan perebutan kejuaraan apabila menewaskan West Ham, Jumaat ini.

Spurs memastikan mereka akan menamatkan saingan musim ini di atas Arsenal buat kali pertama sejak 1995 selepas gol daripada Dele Alli dan Harry Kane mengesahkan kemenangan, malam tadi.

Kemenangan ke atas The Hammers di Stadium London akan memendekkan jurang mata dengan pendahulu, Chelsea, kepada satu mata dengan Chelsea hanya akan beraksi Isnin depan.

Meskipun anak buah Antonio Conte tidak mempamerkan sebarang bayangan bahawa mereka akan melepaskan takhta tersebut, namun Tottenham mahu melakukan apa yang terdaya bagi memastikan The Blues kecundang dalam baki empat perlawanan terakhir musim ini.

"Kami tidak boleh buat apa-apa selain daripada meneruskan kemenangan bagi meletakkan tekanan ke atas mereka," Vertonghen memberitahu Sky Sports.

"Masih ada baki empat perlawanan lagi. Jika kami memenangi perlawanan Jumaat ini, kami akan dipisahkan dengan satu mata sahaja."

Kane, yang meledak gol kedua Spurs menerusi sepakan penalti, turut meluahkan persetujuan terhadap kenyataan rakan sepasukannya itu.

Ditanya sama ada memenangi perlawanan derby utara London buat kali terakhir di gelanggang White Hart Lane membawa sebarang impak, Kane menjawab: "Kami tidak terlalu fokus dengan senario itu.

"Kami hanya memikirkan perebutan kejuaraan dan memastikan kedududukan kedua liga kekal milik kami. Senario lain yang berlangsung itu adalah satu bonus. Kami masih ada empat perlawanan penting yang perlu ditempuhi.

"Bagi saya, aksi kami cukup mantap. Daripada barisan pertahanan sehingga ke jentera serangan. Hujung minggu yang baik untuk kami."

 

Advertisement

Must Watch Video