Pengendali Southampton, Claude Puel, mengakui spekulasi perpindahan melibatkan kapten, Jose Fonte, telah memberi impak negatif terhadap moral pasukan itu.
Pemain pertahanan itu dilaporkan bakal mengesahkan perpindahan ke West Ham selepas mengemukakan rayuan perpindahan sebelum ini.
Southampton bakal menerima kunjungan Leicester City pada Ahad selepas tewas empat perlawanan berturut-turut sebelum ini, namun isu berkaitan Fonte menjadi topik utama ketika sidang media Puel.
"Situasi melibatkan Jose menyukarkan kelab ini," Puel memberitahu wartawan pada Khamis. "Ia juga memberi impak negatif terhadap Jose kerana dia sering saja mengadakan perbincangan dengan kelab mengenai pembaharuan kontrak.
"Saya membuat keputusan pada awal musim perpindahan Januari untuk mengetepikan Jose kerana saya mahu mengkaji senario di samping melindungi pasukan ini daripada spekualasi yang melibatkan Jose.
"Saya mahu pasukan ini memberikan tumpuan terhadap perlawanan akan datang dan bukannya mengenai situasi Jose. Bukan mudah untuk melakukannya tetapi kami perlu memikul tanggungjawab itu."
Pada masa sama, Southampton telah dikaitkan dengan pertahanan Liverpool, Mamadou Sakho, namun Puel menafikan mereka telah menawarkan sebarang kontrak terhadap pemain itu.
"Saya kenal pemain ini tetapi tiada sebarang perbincangan berlaku dan setakat ini, ia hanya khabar angin," ujar Puel. "Tetapi kami akan membuat sebarang pertimbangan sekiranya Fonte berhijrah. Buat masa ini, kami akan memberikan peluang kepada Jack Stephens dan Florin Gardos."