Melaka United dalam persediaan terbaik untuk menerima kunjungan Sarawak United bagi menghadapi aksi Liga Super kelapan bagi memastikan tiga mata di Stadium Jebat, esok.

Tambahan pula dengan kembalinya penyerang import kelahiran Haiti, Sony Norde, yang ingin membuka lembaran baru bersama skuad Sang Kancil selain ingin terus membuktikan kemampuan membantu Melaka meraih di kedudukan lebih baik selepas membuat pusingan U sebaik pengurusan membantu menyelesaikan isu dalaman itu.

"Saya tidak pernah ke mana-mana, sentiasa berada di sini.

"Hati saya sentiasa di sini dan selepas dua tahun beraksi di sini, sukar untuk pergi apatah lagi rasa hormat yang ditunjukkan peminat Melaka, suasana di sini terutama orang Melaka sangat ramah dengan saya,.

"Saya tidak pernah meminta untuk pergi cuma mempunyai tuntutan dengan pengurusan kelab.

"Saya berterima kasih kepada pengurusan Melaka demi memastikan saya terus gembira.

"Ini adalah kali terakhir ia terjadi kerana ia bukan berkenaan saya seorang semata-mata, sebaliknya rakan sepasukan kerana adalah kami sebuah keluarga.

"Hari ini saya boleh sahkan bahawa saya gembira untuk beraksi bersama Melaka United," katanya dalam sesi latihan petang tadi.



Penyerang import berusia 32 tahun itu, bagaimanapun, tidak memandang rendah Sarawak United yang tewas besar 0-7 kepada Selangor minggu lalu.

Malah, Sony mengiktiraf kualiti barisan pelawat dari Borneo itu.

"Saya tidak perlu sebutkan nama pemain yang dimaksudkan tetapi mereka ada kualiti.

"Atas sebab tertentu mereka naik ke divisyen satu.

"Saya bersimpati dengan masalah kesihatan B. Sathinathan dan berharap dia segera sembuh.

"Apa pun kami menghormati Sarawak United dan kami akan berusaha keras untuk dapatkan tiga mata," katanya.