Skip to main content

Bola Sepak

Solskjaer: United belum sedia bersaing dengan City, Liverpool musim depan

solskjaer.jpg
Ole Gunnar Solskjaer berkata Manchester United perlu membuktikan bahawa mereka boleh beraksi konsisten jika mahu bersaing dengan Liverpool dan Manchester City dalam Liga Perdana Inggeris musim depan.

Menjelang aksi 'derby' menentang City di Old Trafford, awal pagi esok, United ketinggalan 24 mata di belakang pendahulu liga, Liverpool, walaupun kurang beraksi satu perlawanan.

Skuad kendalian Solskjaer itu sedang memburu tempat ke Liga Juara-Juara Eropah musim depan dengan United, yang tewas enam daripada lapan perlawanan terakhir dalam semua kejohanan, ketinggalan tiga mata di belakang pasukan di tangga keempat, Chelsea.

United tidak pernah menjuarai Liga Perdana sejak Alex Ferguson bersara pada 2013 dan Solskjaer masih tidak pasti sama ada The Red Devils mampu untuk bersaing dalam musim 2019-20.

"Saya tidak fikir kami mempunyai ketekalan untuk melakukannya," kata Solskjaer ketika ditanya sama ada pasukannya mampu mencabar City dan Liverpool musim depan.

"Sepanjang 18 perlawanan lalu, kami tidak jauh ketinggalan daripada mereka, namun kami tidak berada di landasan tepat musim ini.

"Kami sudah melakukannya sepanjang separuh kedua musim ini.

"Kita akan lihatnya. Anda tidak boleh katakan tidak.

"Anda tidak boleh menjangkakan ia akan berhasil dalam satu malam dan kami menyedari perkara itu.

"Ia akan berlaku sedikit demi sedikit dan kami perlu bersikap realistik dengan mengambil satu langkah demi satu langkah.

"Ia bukan seperti menukar 10 pemain dengan membawa 10 pemain baru.

"Ia secara perlahan-lahan, namun pasti.

"Ia memerlukan kualiti yang tepat, perwatakan yang tepat, standard yang tepat untuk membawa kami ke arah yang kami mahu," katanya.

Penyokong United kini berbelah-bahagi sama ada mahu menyaksikan jiran mereka, Manchester City, atau seteru mereka, Liverpool, menjulang kejuaraan musim ini.

"Ia bukan tentang mengambil sesuatu daripada pihak lain.

"Kami perlu mempunyai kemahuan untuk mengatasi mereka dan ia bukan hanya disebabkan mereka adalah City dan Liverpool.

"Untuk penyokong seperti saya, juga sebagai pengurus buat masa ini, kami mengenali mereka kerana mereka terlalu hampir dengan kawasan kami.

"Kami mahu menjadi yang terbaik, kami pernah menjadi yang terbaik dan ia tidak bagus untuk melihat kedua-dua pasukan itu berada di atas," tambahnya.

Advertisement

Must Watch Video