Skip to main content

Bola Sepak

Solskjaer tidak bimbang prestasi De Gea

david-de-gea.jpg
MAN UNITED 1 CHELSEA 1

Ole Gunnar Solskjaer tidak bimbang dengan prestasi David de Gea selepas penjaga gol Manchester United itu melakukan kesilapan hingga memberikan jaringan kepada Chelsea dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) semalam.


De Gea gagal menahan dengan baik rembatan jarak jauh Antonio Rudiger sebelum Marcos Alonso bingkas untuk melakukan jolokan untuk menyaksikan The Blues meraih keputusan seri 1-1 di Old Trafford.

Pemain kebangsaan Sepanyol itu bergelut mencari sentuhan terbaik, bermula dengan kesilapan yang dilakukan ketika berdepan Barcelona dan Manchester City bulan ini tetapi Solskjaer masih lagi meletakkan kepercayaan kepada De Gea.

"Saya mengenali De Gea. Anda mengetahui sebagai penjaga gol atau penyerang, anda akan menjadi pemain tumpuan," kata Solskjaer. "Apabila anda menjaringkan gol atau terlepas peluang, anda akan mendapatkan tajuk utama yang baik atau sebaliknya.

"Sama seperti ketika De Gea berjaya menyelamatkan percubaan penting. Dia sering menjadi tajuk utama kerana mempamerkan persembahan konsisten bagi tempoh yang sangat panjang. Buat masa ini, dia berada dalam tempoh sukar tetapi saya tidak bimbang mengenai De Gea kerana dia memiliki perwatakan yang kuat.

"Terdapat beberapa jalan untuk mendapatkan semula sentuhan terbaiknya. Saya akan duduk dan bercakap dengan De Gea, sama seperti ketika dia bermain dengan baik. Dia bukan punca United di tangga keenam musim ini. Terdapat banyak sebab dan kami berdepan cabaran yang sengit daripada pasukan yang berkualiti," tambahnya.

Solskjaer turut memberi jamainan dia tidak akan mengetepikan De Gea untuk aksi United seterusnya berdepan Huddersfield Town minggu depan.

"Dua penjaga gol yang berkualiti, Sergio Romero dan Lee Grant, di bawah De Gea. Mereka memiliki persaingan yang menarik.

"Romero sentiasa turun beraksi dengan baik setiap kali diberikan peluang, Grant pula cemerlang dalam sesi latihan. Mereka sering menguji kebolehan masing-masing. De Gea turut memberikan persembahan cemerlang dan mahu menjadi yang terbaik.

"Setiap kali saya tidak menjaringkan gol, tahap keyakinan menurun. De Gea mengetahui dia harus memberikan yang lebih baik dan tidak perlu berselindung mengenainya. Tetapi kami tidak berhak untuk menuding jari kepada De Gea kerana dia telah banyak menyelamatkan pasukan sebelum ini."

United mendahului menerusi jaringan Juan Mata pada minit ke-11 tetapi kesilapan De Gea membenarkan Chelsea berharap untuk layak ke Liga Juara-Juara musim depan.
 

Advertisement

Must Watch Video