Skip to main content

Bola Sepak

Solskjaer percaya nasib United akan berubah

ole-cropped_1ubqg2gajw4ia1u7b6ufngd7jr.jpg
Ole Gunnar Solskjaer percaya skuad bimbingannya, Manchester United, berada di landasan tepat walaupun melalui satu lagi keputusan tidak memuaskan.

United seri 0-0 dengan AZ Alkmaar dalam saingan Liga Europa awal pagi tadi selepas turut mencatat keputusan sama ketika menentang Arsenal, Isnin lalu.

Solskjaer dilihat kecewa dengan keputusan pengadil tidak memberikan sepakan penalti kepada Marcus Rashford dalam babak kedua sambil kecederaan lewat permainan yang menimpa Jesse Lingard menambah kekecewaan pelawat.

Namun, Solskjaer tetap yakin dan menyatakan rasa percaya bahawa keputusan seri itu adalah sesuatu yang baik walaupun mencicirkan dua mata sambil menambah hasil lebih posisitf akan hadir jika United mengekalkan tahap permainan.

"Sangat gembira dengan pemain," katanya.

"Kami ke tempat lawan dengan persembahan baik, ia patut berakhir dengan tiga mata kerana ada sepakan penalti. Anda tidak boleh bincangkan mengenainya.

"AZ adalah pasukan bagus yang menundukkan Feyenoord 3-0 di tempat lawan. Ini adalah persembahan baik dan satu mata di atas permukaan padang teruk, menentang lawan yang hebat, ia bagus.

"Saya tidak percaya apa yang dilihat selepas tidak diberikan sepakan penalti, sama dengan bola terkena tangan ketika menentang Arsenal.

"Agak mengecewakan apabila ada perkara begini. Pemain berhak menerima lebih daripada itu. Ia mampu mengubah situasi, membolehkan kami meraih keputusan yang berhak diterima.

"Jika anda meraih seri di tempat lawan dan menang di tempat sendiri, ia sudah cukup."

Solskjaer juga mengesahkan Lingard, yang terpaksa dibawa keluar ketika waktu kecederaan susulan masalah di bahagian paha, akan terlepas kunjungan ke Newcastle United dalam saingan Liga Perdana Inggeris tatkala ia menambah episod kecederaan yang melanda skuad selepas Paul Pogba diketepikan dan Anthony Martial belum pasti beraksi.

"Dia mengalami masalah dengan paha dan saya tidak fikir dia mampu terus beraksi. Namun, diharapkan ia tidak terlalu teruk," tambah Solskjaer.

"Mungkin bukan Newcastle tetapi Lingard akan bersedia untuk pertemuan dengan Liverpool, 20 Oktober nanti."
 

Advertisement

Must Watch Video