Skip to main content

Bola Sepak

Solskjaer akur kesilapan mudah bayangi prestasi United

ole-gunnar.jpg
WOLVES 2 MANCHESTER UNITED 1

Ole Gunnar Solskjaer memuji prestasi Manchester United ketika tewas 1-2 kepada Wolverhampton Wanderers yang menjejaskan peluang mereka untuk layak ke Liga Juara-Juara Eropah musim depan, namun mengakui pasukannya melakukan kesilapan yang mampu dielakkan.


Dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris itu di Stadium Molineux, awal pagi tadi, Scott McTominay menjaringkan gol pertamanya buat kelab itu, dengan kemenangan akan memastikan mereka memintas Arsenal dan Tottenham Hotspur ke tangga ketiga.

Bagaimanapun, Diogo Jota menyamakan kedudukan selepas Fred kehilangan bola dan kapten United, Ashley Young, dibuang padang selepas mengutip kad kuning kedua -- layangan kad merah yang ke-100 oleh pengadil, Mike Dean, dalam Liga Perdana.

United mengawal permainan walaupun Wolves berkelebihan seorang pe main dan pintu gol mereka yang dijaga David de Gea juga tidak dibolosi sebelum hantaran lintang Joao Moutinho ditolak ke gawang sendiri oleh Chris Smalling.

Kekalahan ketiga daripada empat perlawanan terakhir itu tiba dalam waktu getir yang perlu dilalui United, namun Solskjaer masih berpuas hati dengan persembahan pasukannya.

"Ia merupakan salah satu daripada hari yang kami telah melakukan lebih daripada secukupnya untuk menjaringkan dua atau tiga gol," katanya kepada Sky Sports.

"Kami menghasilkan peluang yang baik dan aksi menyelamat hebat daripada penjaga gol.

"Sudah pasti mereka (Wolves) layak dipuji, mereka menjaringkan gol dan menghukum kesilapan kami.

"Saya berasakan pemain saya sudah beraksi baik dengan mencipta peluang walaupun bermain dengan 10 orang.

"Mereka menjaringkan gol dengan menyudahkan peluang pertama selepas layangan kad merah itu.

"Pemain saya sudah melakukan apa yang sepatutnya, namun kami dibolosi gara-gara kesilapan mudah dan tidak menjaringkan gol.

"Ia sudah berlaku. Ia merupakan beberapa keputusan yang salah, namun itulah bola sepak.

"Kami mempercayai mereka untuk bermain dan mereka telah menunjukkan permainan yang hebat, namun kelemahan kami adalah mengambil risiko.

"Saya berasakan kami bermula baik dalam babak kedua. Scotty (McTominay) memperoleh peluang yang hebat dan aksi menyelamat menakjubkan.

"Saya berasakan dia sudah tiga atau empat kali menyelamatkan kami.

"Kami sudah melakukan yang secukupnya untuk memenangi perlawanan, namun anda tidak selalu memiliki apa yang anda layak dapat," katanya.

Wolves kini muncul pasukan paling banyak meraih mata ke atas enam pasukan di tangga teratas musim ini dengan mencuri 13 mata daripada aksi berdepan United, Liverpool, Manchester City, Chelsea, Arsenal dan Tottenham. 

Ia merupakan kemenangan kedua mereka ke atas United dalam tempoh tiga minggu di Stadium Molineux dan pengendali pasukan, Nuno Esprito Santo, memuji finalis Piala FA itu yang bangkit daripada ketinggalan untuk memenangi perlawanan.

"Prestasi yang hebat. Pada awalnya, mereka bermula dengan lebih baik berbanding kami dan menguasai permainan.

"Kami mempunyai masalah dalam membentuk formasi dan mereka menguasai permainan untuk menjaringkan gol.

"Pada waktu itu, kami bergelut dan memerlukan masa untuk memberikan reaksi, namun kami memberikan reaksi yang hebat dan beraksi lebih baik.

"Selepas layangan kad merah itu, tugas kami tidak terlalu berat.

"Sudah pasti ia akan sentiasa berbahaya apabila berdepan lawan sukar seperti itu, namun ia membuatkan saya berbangga untuk menewaskan pasukan sebaik itu.

"Reaksi dan cara mereka bertindak balas selepas dibolosi, kami tahu kami boleh dibolosi sekali lagi, namun kami mengekalkan ketenangan dan bermain dengan teratur.

"Cara kami mara ke depan amat luar biasa," katanya.

Advertisement

Must Watch Video